SELEPAS berjaya memenangi tiga piala domestik yang ditawarkan, Piala Sumbangsih, Piala FA dan Liga Super, kini tumpuan Johor Darul Ta’zim (JDT) terarah ke saingan Piala Malaysia yang bakal membuka tirai pada Rabu.

Petaling Jaya City FC akan menjadi halangan pertama JDT dalam misi menyapu bersih kesemua trofi domestik sekaligus meraih kejuaraan ‘Quadruple’ yang tidak pernah dilakukan mereka sebelum ini.

Diatas kertas, JDT dilihat sangat dominan untuk memenangi perlawanan pusingan 16 terbaik ini tetapi Stadium MBPJ Kelana Jaya bukanlah tempat kegemaran Harimau Selatan apabila masih gagal mencatat kemenangan di sini tahun ini.

 

PJ City pula sentiasa menjadi badi kepada JDT sejak dahulu lagi dengan skuad Yakini Lokal ini seringkali menghadirkan keputusan yang mengejutkan seperti ketika kali terakhir mereka bertemu apabila berjaya mengikat JDT dengan keputusan 2-2.

Skuad kendalian P.Maniam pastinya akan turun beserta semangat mendiang P.Rajes yang meninggal akibat kemalangan jalan raya dan ini akan menjadi tonik tambahan buat para pemain PJ City untuk beraksi dengan baik.

Tambah menarik, kesemua kutipan yang diperolehi dari jualan tiket untuk perlawanan ini akan diserahkan kesemuanya kepada keluarga mendiang dan ini adalah satu langkah murni yang ditunjukkan oleh kedua-dua pasukan.

Barisan pemain PJ City yang berkualiti seperti Darren Lok, Mahali Jasuli, Ruventhiran dan Kalamullah Al Hafiz dilihat mampu melakar kejutan sekali lagi dan keadaan padang terutama dalam keadaan hujan boleh membawa perbezaan kepada corak permainan

Skuad Hector Bidoglio pula tentunya mahu memadam kekecewaan seri tempoh hari dan mahukan kemenangan pada perlawanan pertama ini untuk meningkatkan momentum sebelum kembali ke Stadium Sultan Ibrahim untuk perlawanan timbal balik 31 Oktober nanti

Dia juga dijangka akan kembali mendapatkan khidmat Fernando Forestieri yang diberikan rehat ketika beberapa perlawanan terakhir liga untuk memberikan laluan kepada pemain lain beraksi dan ini sudah semestinya menambahkan lagi sengat bahagian serangan JDT.

“Fernando dalam keadaan yang baik dan kami merehatkannya kerana dia sudah bermain banyak perlawanan musim ini serta mahu memberikan masa permainan kepada pemain yang kurang bermain dan kini dia bersedia untuk menghadapi Piala Malaysia,” kata Hector.

Dengan kesemua pemain masih segar dengan kejayaan muncul juara Liga Super lapan kali berturut-turut dan disambut gemilang bersama-sama para penyokong, semangat ini pastinya akan diteruskan di Piala Malaysia kerana ini adalah peluang terbaik mereka mencipta sejarah baharu buat kelab.