PENANG FC yang bergelut sejak awal musim terutama di Liga Super kini tidak mahu menoleh kebelakangan sebaliknya memberikan fokus 100% kepada kempen Piala Malaysia 2022 yang menawarkan satu tiket ke Piala AFC 2023.

Meskipun hanya menamatkan saingan liga di tangga terbawah tetapi skuad Harimau Kumbang mempamerkan aksi yang mantap dalam pertandingan piala apabila berjaya mara hingga ke peringkat separuh akhir Piala FA sebelum tewas kepada pemenang, Johor Darul Ta’zim.

Pengendali pilihan penyokong, Manzoor Azwira Abdul Wahid kembali menerajui pasukan untuk kempen kali ini dan pasukan dilihat bersemangat menjalani latihan dan akan menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri untuk mencipta kemenangan ketika menentang Kuching City FC pada Rabu.

“Fokus kami kini hanyalah untuk menghadapi kempen Piala Malaysia dan pasukan berada dalam keadaan yang baik dan bersedia untuk menghadapi perlawanan pertama bertemu Kuching City.

“Kami hanya memandang ke hadapan kerana itu adalah perkara yang paling penting dan kami akan gunakan kesempatan bermain di Stadium Bandaraya untuk mencari kedudukan yang selesa sebelum bertandang ke Kuching minggu hadapan,” katanya ketika dihubungi FLASH SUKAN.

Laman sosial rasmi kelab juga dilihat membakar semangat para penyokong untuk hadir ke stadium bagi memberikan sokongan dan ianya juga sudah pasti membangkitkan semangat para pemain untuk memberikan aksi terbaik buat para penyokong.

Tanpa Hilal El-Helwe yang menamatkan kontraknya secara persetujuan bersama, Penang FC dijangka tidak berdepan masalah dengan Manzoor sudah pasti mempunyai ramuan tersendiri untuk memerangkap anak-anak buah Irfan Bakti.

Kuching City FC pastinya akan turun tanpa tekanan meskipun diletakkan sebagai pasukan pilihan berdasarkan undian dan sudah tentu mereka mahu meneruskan rentak cemerlang enam perlawanan tanpa kalah.

 

Keputusan seri 1-1 ketika menentang Selangor FC pada aksi terakhir liga memberikan keyakinan tambahan buat Penang FC yang jelas mampu beraksi baik dan pentas Piala Malaysia ini akan menjadi medan terbaik buat mereka membuktikan kemampuan.

Suasana positif yang ada pada pasukan dengan fokus yang jelas oleh ketua jurulatih sudah tentu akan membantu fokus para pemain yang hanya perlu mempamerkan aksi yang baik di padang dan menterjemahkannya kepada keputusan yang baik.

Penang FC akan berhadapan saingan Kuching City FC untuk perlawanan pertama peringkat 16 terbaik pada Rabu sebelum aksi timbal balik di Kuching pada 31 Oktober 2022 tanpa peraturan gol tempat lawan yang telah dimansuhkan oleh MFL.