KETIKA Australia melebarkan kemenangan kepada tiga perlawanan, pasukan tuan rumah Malaysia pula terus bergelut mencari kemenangan pertama, pada perlawanan ketiga Piala Sultan Johor, Selasa.

Berdepan Afrika Selatan yang sebelum ini mengejutkan India, skuad bimbingan Muhammad Amin Rahim bagai memberikan harapan apabila berjaya mengimbangi permainan lawan pada suku pertama.

“Hari ini saya agak kecewa kerana pada pendapat saya, kitab oleh memenangi perlawanan ini. Tapi disebabkan kekurangna pengalaman bermain di pentas antarabangsa dan fizika ‘endurance’ pemain kita juga agak di belakang, kita tewas.

“Saya harap pemain menjadikan perlawanan ini sebagai pengajaran dan perbetul kesilapan yang dilakukan,” kata Amin.

Pada perlawanan itu, Afrika Selatan mendahului menerusi jaringan Calvin Davis pada minit ke-22 sebelum Muhammad Mamat menyamakan kedudukan seminit selepas itu.

Selepas itu, segala-galanya menjadi milik Afrika Selatan yang memperoleh dua lagi gol yang dijaringkan Marvin Simons dan Cameron Le Forestier, membolehkan Afrika Selatan menang 3-1.

Sementara itu, jurulatih Afrika Selatan, Guy Elliott berkata, strategi diterapnya membuahkan hasil pada perlawanan itu.

“Saya menggunakan tiga pemain pertahanan dan dua penyerang, selebihnya pemain tengah bagi membantu kedua-duajentera itu.

“Kami sedar Malaysia akan cuba melakukan ‘counter attack’ dan rancangan kami berjaya membendung pasukan Malaysia,” katanya.