PENYERANG import Penang FC, Anselmo Arruda da Silva atau dikenali sebagai Casagrande, merupakan pemain asal Brazil yang tidak asing di kalangan peminat bola sepak Malaysia.

Penjaring terbanyak Penang untuk dua musim di Liga Premier, Casagrande dilihat bergelut dengan saingan Liga Super 2022.

Pada Jun dia alami sedikit malang
selepas disahkan mengalami keretakan tulang pipi kanan atau zygomatic arc ketika aksi Liga Super menentang Petaling Jaya City FC.

Namanya bukan biasa-biasa di sini kerana pernah mewakili empat pasukan berbeza dalam Liga Malaysia.

Sepanjang musim 2021, Casagrande menjadi pemain penting terutamanya di bahagian serangan dengan menjaringkan 12 gol dalam saingan Liga Super buat Penang.

Casagrande juga bertindak cemerlang dalam musim 2019 dan 2020 apabila meledak hampir 20 gol dalam 19 penampilannya bersama Penang.

Dia juga pernah menempatkan dirinya sebagai penjaring keempat terbanyak Liga Super serta membantu Penang menamatkan saingan liga di tangga ketiga di belakang Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kedah Darul Aman FC pada musim 2021.

Bersama Melaka United pada 2019 sebelum dipinjamkan ke Penang pada jendela perpindahan kedua, Casagrande yang pada musim sebelum itu merupakan pemenang Kasut Emas Liga Premier 2018.

Penyerang bertubuh sasa berusia 32 tahun itu merupakan watak penting buat Felcra United muncul sebagai naib juara Liga Premier 2018 di belakang Felda United.

Menariknya, pemain kelahiran Brazil itu muncul penjaring terbanyak Liga Premier 2018 dengan 18 gol dan merekodkan 21 gol daripada 24 perlawanan dalam semua kejohanan sekali gus dinobatkan Penjaring Terbanyak Liga Premier 2018.

Casagrande pernah beraksi untuk Kuala Lumpur pada 2016, menjaringkan 9 gol daripada 13 perlawanan.

 

Daripada semua penampilan kelab berkenaan, rekod keseluruhan jaringan dilakar oleh Casagrande adalah melakukan 67 kali gol ke gawang lawan.

Ikatan kontraknya bersama Penang akan berakhir pada 30 November ini dan tidak pasti apakah destinasi seterusnya sebaik kempen TM Piala Malaysia tamat.