SKUAD hoki Jepun menjadi pasukan pertama yang tiba bagi menghadapi kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah 2022 edisi ke-29 yang akan bermula dari 1 hingga 10 November 2022 di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah di Ipoh.
Bukan sahaja menjadi pasukan terawal tiba, mereka juga melaungkan amaran awal untuk memenangi kejohanan ini sekaligus kejuaraan pertama mereka dalam kejohanan Piala Sultan Azlan Shah.
Jurulatih Jepun, Akira Takahashi berkata mereka datang awal ke sini kerana ingin menyesuaikan diri dengan cuaca selain mempersiapkan pasukan untuk menghadapi beberapa lagi kejohanan sebelum ke Piala Dunia Januari 2023 nanti.
“Kami datang awal ke sini kerana cuaca di Jepun sangat sejuk dan kami mahu membiasakan diri dengan cuaca yang panas dan lembap di Malaysia. Kami mensasarkan untuk memenangi kejohanan ini dan atas sebab itu kami perlu bersedia lebih awal.
“Skuad kami akan ke Afrika Selatan selepas ini diikuti dengan satu kejohanan antarabangsa di Sepanyol sebelum menghadapi Piala Dunia di India dan Piala Asia di China,” kata Akira.
Jepun akan membuka tirai saingan pada 1 November 2022 bertemu Mesir pada jam 4 petang sebelum Pakistan bertemu Afrika Selatan dan Malaysia menentang Korea Selatan bagi melengkapkan hari pertama kejohanan.
Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah kembali dilangsungkan selepas pandemik Covid-19 dan akan dijalankan dalam format round robin dengan enam pasukan, Malaysia, Jepun, Pakistan, Afrika Selatan, Korea Selatan dan Mesir mengambil bahagian.
Sejak dilangsungkan pada 1983, buat kali pertama Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah ini akan ditawarkan mata ranking dunia buat semua pasukan yang mengambil bahagian sekaligus menambahkan lagi prestij kejohanan ini.
Kejohanan ini akan dijadikan medan pemanas badan dan boleh membantu menaikkan ranking buat pasukan sebelum ke Nations Cup di Afrika Selatan dan juga sebagai persediaan sebelum ke Piala Dunia.