PENGURUSAN Kuala Lumpur Football Association (KLFA) menerusi presidennya, Khalid Samad mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua penyokong Kuala Lumpur City FC yang hadir ke Stadium Nasional Bukit Jalil pada aksi final Piala AFC pada Sabtu.

Khalid juga berbangga dengan angka kehadiran itu dan memuji penyokong yang tidak berputus asa dan menunggu sehingga tamat perlawanan meskipun keputusan tidak memihak kepada KL City.

Dia juga mengesahkan pemain dan pegawai pasukan akan menerima bonus tambahan berdasarkan prestasi sepanjang tahun selain kini sudah mula mendapat perhatian syarikat-syarikat yang berminat untuk menjadi penaja.

“Terima kasih kepada lebih 27 ribu penyokong yang hadir dan ini adalah pencapaian yang amat membanggakan bagi KL City FC. Mereka juga tidak putus asa dan tidak meninggalkan stadium meskipun kalah dan tidak menunjukkan perasaan negatif kerana mereka sedar para pemain KL City sudah memberikan segala-galanya.

“Tumpuan kami sekarang adalah kepada Piala Malaysia dan bonus telah dibayar selepas layak ke final namun demikian kami sudah memutuskan untuk memberikan bonus tambahan berdasarkan prestasi sepanjang tahun dan bukan sebab hanya layak ke final.

“Terima kasih juga kepada pihak penaja dan kini ramai yang menghubungi pihak kami untuk menjadi penaja pada musim hadapan. Setakat ini ada empat syarikat daripada pelbagai bidang sudah membuat pertanyaan berkaitan penajaan.

Khalid juga berkata banyak pembaharuan dan penambahbaikan akan dilakukan kelab supaya dapat memenuhi syarat-syarat kelab Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) sebagai persediaan untuk menghadapi Liga Juara-Juara AFC sekiranya layak bagi musim 2024-2025.

Kuala Lumpur City FC akan memulakan kempen mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia menentang PDRM FC dan mereka berharap dapat mengulangi pencapaian musim lalu.