KETUA Jurulatih Interim Penang FC, Manzoor Azwira Abdul Wahid kini akan meletakkan fokusnya untuk menaikkan semula moral para pemainnya bagi menghadapi cabaran Liga Super selepas cuti Aidilfitri ini.
Penang FC kini bergelut di dasar liga dengan tiga mata dan tanpa kemenangan memerlukan suntikan moral yang baik sebelum berhadapan Kuala Lumpur City FC di Cheras pada 10 Mei nanti.
Manzoor yang sebelum ini menggalas jawatan sebagai pembantu jurulatih kini dinaikkan pangkat sebagai ketua jurulatih sementara selepas Tomas Trucha direhatkan Penang FC atas nasihat keselamatan oleh Polis DiRaja Malaysia (PDRM).
Jurulatih tempatan berpengalaman ini juga sedar bukan mudah berhadapan dengan juara Piala Malaysia dan dia inginkan setiap pemain fokus untuk mendapatkan keputusan terbaik.
“Saya akan memastikan pemain kembali fokus untuk mendapatkan keputusan positif. Selain itu saya juga berhadapan tugas besar untuk menaikkan semula moral para pemain.
“Berhadapan juara Piala Malaysia bukanlah tugas mudah, para pemain perlu menunjukkan semangat juang yang tinggi untuk memperolehi keputusan yang baik,” jelas Manzoor secara eksklusif kepada FLASH SUKAN.
Selain itu, pasukan Penang FC pula kini berhadapan dengan masalah kecederaan yang membelenggu dua tonggak import, Casagrande dan juga Rafael Vitor. Pemain Filipina, Christian Rontini pula dilepaskan untuk mewakili skuad negaranya bagi beraksi di Sukan SEA, Hanoi bermula minggu ini.
Ketiadaan Vitor jelas mengganggu kemantapan barisan pertahanan Harimau Kumbang dalam beberapa perlawanan sebelum ini. Bagaimanapun semua pemain tempatan dilaporkan bebas dari sebarang kecederaan.
Tinjauan di laman peminat Penang FC, rata-rata penyokong nyata gembira dengan lantikan Manzoor sebagai ketua jurulatih dengan mereka menganggap beliau adalah individu yang tepat untuk memulihkan kembali maruah pasukan yang tercalar.