BERAKHIR sudah perjuangan pemain badminton remaja negara di Santander, Sepanyol apabila empat ‘askar’ terakhir tewas di medan peranh Khamis malam.

Segala-galanya bermula dengan kekalahan beregu campuran Bryan Jeremy Goonting-Lee Xin Jie kepada gandingan China Liao Pin Yi-Huang Ke Xin 17-21, 17-21.

Sandaran utama yang diharap menghadirkan sekurang-kurangnya satu pingat dari Sepanyol, juga tidak kesampaian apabila perseorangan lelaki, Justin Hoh ditunjuk jalan keluar pemain Korea Selatan, Kim Byung Jae.

Pemain negara yang diletakkan selaku pilihan ketiga itu tewas 17-21, 19-21.

Justin Hoh, gagal menepati ramalan selaku pilihan ketiga kejohana. Malaysia meninggalkan cabaran Kejohanan Remaja Dunia tanpa melangkah ke suku akhir.

Turut gagal lolos ke suku akhir, seorang lagi perseorangan lelaki Eogene Ewe, apabila tunduk 18-21, 17-21 kepada pemain Thailand, Panitchaphon Teeraratsakul 18-21, 17-21.

Harapan terakhir disandar ke bahu beregu lelaki, apabila Bryan turun sekali lagi bergandingan dengan Choi Jian Sheng.

Gandingan negara itu bermati-matian mengharungi cabaran pemain Jepun Sora Ogaki-Osuke Sakurai.

Mereka menang set pertama 28-26, namun tidak mampu mengharungi ketahanan fizikal dan mental Ogaki dan Sakurai dan tunduk 17-21, 14-21.

Pulang tanpa kejuaraan, bermakna skuad negara mengulangi pencapaian 2019 di Kazan, Russia.