AKSI siaran langsung lapan perlawanan pembukaan Piala Malaysia 2022 berjaya meraih kira-kira 3.797 juta tontonan menerusi platform YouTube unifi sekaligus membuktikan kehangatan saingan musim ini.
Bagaimanapun, angka ini tidak termasuk angka tontonan menerusi siaran langsung di platform unifi TV, dan TV Okey dengan purata 474,625 tontonan bagi setiap perlawanan yang berlangsung pada Rabu dan Khamis.
Perlawanan ‘tribute‘ kepada mendiang P.Rajes antara PJ City FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) mencatatkan angka tontonan tertinggi dengan 1 juta tontonan yang meneruskan statistik lebih 1 juta tontonan untuk setiap perlawanan melibatkan JDT.
Derbi Pantai Timur antara Sri Pahang dan Terengganu FC di Stadium Darul Makmur menerima hampir 800,000 tontonan yang menyaksikan TFC berjaya memperolehi bekalan selesa selepas menang dengan keputusan 5-1.
Populariti pasukan Kedah berjaya menarik minat lebih 700,000 tontonan namun keputusan tidak memihak Sang Kenari apabila tewas kepada Negeri Sembilan FC 2-1 dalam aksi di Stadium Darul Makmur.
Sabah FC yang sering mencatatkan angka tontonan yang tinggi terus merekodkan angka yang baik dengan lebih setengah juta tontonan diterima ketika menang tipis ke atas UiTM FC dalam aksi di Shah Alam.
Dua wakil dari Negeri Cik Siti Wan Kembang, Kelantan United dan Kelantan masing-masing merekodkan tontonan 476,000 dan 420,000 apabila bertemu Selangor dan Sarawak United.
Aksi Penang FC dan Kuching City di Stadium Bandaraya menerima 294,000 tontonan manakala perlawanan antara juara bertahan, Kuala Lumpur City FC dan PDRM FC ditonton oleh 147,000 penonton di internet.
Perlawanan timbal balik pada 31 Oktober dan 1 November minggu hadapan dijangka akan menerima jumlah tontonan yang lebih tinggi kerana intensiti yang semakin menarik antara kesemua pasukan bagi merebut tempat ke peringkat suku akhir.