TIADA kelibat Erling Haaland, namun Kevin De Bruyne ‘menjadi’ Erling Haaland untuk Manchester City ketika membenam Leicester City 1-0 di Stadium King Power pada Sabtu.
Haaland tidak beraksi akibat kecederaan kaki pada pertengahan minggu lalu ketika bertemu Borussia Dortmund di Liga Juara-Juara.
Ketiadaan Haaland membimbangkan memandangkan City bergantung sepenuh kepadanya untuk menjaringkan gol. Haaland telah menjaringkan 22 gol dalam semua pertandingan, tiga kali lebih banyak daripada Phil Foden, yang hanya menjaringkan tujuh gol.
City berdepan kesukaran sepanjang separuh masa pertama walaupun tampil dominan.
Selepas terikat tanpa jaringan pada separuh masa pertama, City kemudian memecah kebuntuan pada minit ke-49 menerusi De Bruyne melepaskan bola ke penjuru kiri pintu gol Danny Ward.
— Kevin De Bruyne (@KevinDeBruyne) October 29, 2022
City menang 1-0 dan berada di tangga teratas Liga Perdana Inggeris dengan 29 mata, satu mata di depan Arsenal di tangga kedua. Keputusan yang melegakan untuk Pep Guardiola kerana dilanda kebimbangan selepas ketiadaan Haaland.
Guardiola gembira City boleh membuktikan sukar tanpa penyerang Norway itu. De Bruyne sendiri telah membuat empat gol dan 11 assist musim ini.
“Kami membuktikan kami boleh menang dengan atau tanpa Erling Haaland.
“Mereka menukar strategi dan permainan itu kelihatan sukar, kerana mereka bertahan begitu dalam dengan 10 pemain dan ia amat sukar.
“Selepas kami menjaringkan gol, mereka mengubah rentak dan minit-minit terakhir dalam Liga Perdana Inggeris sentiasa sukar. Ia kemenangan hebat untuk kami.
“Kevin De Bruyne telah kembali. Dia tidak bermain dengan baik dalam beberapa minggu kebelakangan ini, tetapi hari ini luar biasa. Dia tahu itu,” kata Guardiola kepada BT Sport.