PEMAIN beregu wanita negara, M.Thinaah memulakan aksi final Terbuka Perancis dengan agak gementar hingga membuatkan Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Rexy Mainaky tidak keruan.

Menurut Rexy, rasa gementar dialami Thinaah itu timbul sebelum melangkah ke gelanggang akhir lagi, namun gandingan itu berjaya mengawal perasaan mereka.

“Hari ini Thinaah agak ‘nervous’ dan komunikasi kedua-dua mereka juga tidak baik pada set pertama dan kedua, gara-gara gementar. Mungkin kerana kali pertama bermain di final Super 750.

“Namun pada set ketiga, mereka nampak sudah selesa bermain,” kata Rexy.

Rexy bersyukur kerana akhirnya Pearly-Thinaah meraih gelaran di Terbuka Perancis.

Rexy lega Pearly-Thinaah kembali tenang pada set ketiga sebelum meraih gelaran Terbuka Perancis

Menurutnya, kejayaan diraih dua anak didiknya itu tidak mudah apa lagi Pearly mengalami kecederaan di Terbuka Jepun September lalu.

“Saya berterima kasih kepada BAM, Presiden Tan Sri Norza Zakaria, Institut Sukan Negara (ISN) atas perhatian dan sokongan buat Pearly dan Thinaah.

“Doktor ISN, fisioterapi, penganalisa permainan dan jgua jurulatih fizikal, selain sokongan tidak berbelah bagi daripada kakitangan BAM,” kata Rexy, berterima kepada semua pihak terutamanya atas usaha pemulihan kecederaan Pearly.