KUCHING City FC berjaya memanfaatkan kelebihan bermain di laman sendiri apabila berjaya menundukkan Penang FC 2-1 pada masa tambahan dalam aksi yang berlangsung sengit di Stadium Negeri, Sarawak.
Penang FC terlebih dahulu membuka akaun jaringan apabila kesilapan pertahanan import, Eylton Fereira Anacias pada babak pertama yang lambat membuat clearance pantas disambar Muhammad Adib Abdul Ra’op untuk membuat hantaran lintang sebelum disudahkan Lucas Espindola Da Silva untuk gol pertama pelawat.
Pertengahan babak kedua, sepakan percuma Kuching City FC disempurnakan dengan baik Mohamad Alif Hassan sekaligus menyamakan kedudukan 1-1.
Penyerang Kuching City FC, Abu Camara turut memiliki dua peluang keemasan memperoleh gol menerusi sepakan akrobatik yang berjaya dijelmakan pada minit ke-83 dan 84 namun hanya sedikit tersasar dari pintu gol.
📹 HIGHLIGHTS: @OfficialKCFC 2-1 @Penang_FC
Lucas Silva menjaringkan gol pembukaan Penang namun Kuching City bangkit untuk menang hasil jaringan Alif Hassan dan Wan Faiz Wan Sulaiman, sekaligus melayakkan Kuching ke peringkat suku akhir.#TMPialaMalaysia2022 pic.twitter.com/h1Wn8SfFEI
— #LigaMalaysia2022 (@MFL_MY) October 31, 2022
Biarpun asakan bertali arus dipamerkan kedua-dua pasukan, namun mereka masih gagal mencipta gol kemenangan sekaligus perlawanan terpaksa dilanjutkan sehingga tiga puluh minit berikutnya.
Pada masa tambahan, perlawanan berlangsung rancak dengan asakan bertali arus dipamerkan kedua-dua pasukan, namun tuah sedikit memihak kepada Kuching City FC apabila bola tampanan Wan Mohamad Faiz Wan Sulaiman melantun ke dalam gawang skuad Penang FC sekaligus menjadikan kedudukan 2-1 kekal sehingga wisel penamat.
Kuching City FC mara dengan agregat 4-3 dan bakal membuat perhitungan dengan Sabah FC di peringkat suku akhir juga secara timbal balik serta tanpa peraturan ‘away goal’.