PERMULAAN cemerlang yang diharapkan skuad hoki negara di Piala Sultan Azlan Shah 2022 tidak menjadi kenyataan apabila tumpas 0-3 kepada Korea Selatan sebentar tadi.

Dalam saingan yang dijalankan secara round robin di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah, Ipoh itu, anak buah A Arulselvaraj jelas masih gagal menguasai kawasan sendiri dan ia menyerlah apabila pasukan lawan memperoleh banbyak pukulan sudut penalty.

Malah ketiga-tiga jaringan diperoleh Korea Selatan itu dihasilkan menerusi set piece pukulan sudut penalti.

Pemain berpengalaman Korea Selatan yang juga pakar pukulan sudut penalti, Jang Jonghyun meledak dua gol dalam perlawananitu.

Skuad lawan yang dibimbing Shin Seok Kyo tidak menunggu lama untuk mendahului selepas Jonghyun membuka tirai jaringan menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakannya pada minit ke-10.

Razie Rahim, gagal menyempurnakan dua pukulan sudut penalti.

Pasukan negara yang berpeluang menjaringkan gol, melepaskan dua peluang terbaik melalui pukulan sudut penalti pada hujung aksi suku kedua selepas pemain pertahanan Razie Rahim gagal menyempurnakan tugas yang diberi.

Sebaliknya, Kim Hyeonhong meletakkan Korea Selatan semakin selesa di depan menerusi penyudah pukulan sudut penalti yang diperoleh pada minit ke-30 sekali gus menambah gol kedua buat pasukan itu.

Berselang tiga minit kemudian, Korea Selatan yang juga juara Piala Asia 2022 semakin mengganas apabila menambah gol ketiga menerusi pukulan sudut penalti yang sekali lagi disempurnakan Jonghyun sekali gus memastikan tiga mata buat pasukan itu.

Segala hasrat Speedy Tigers untuk membalas dendam kekalahan di Piala Asia tidak menjadi kenyataan.

Esok, skuad negara akan meneruskan aksi menentang Pakistan untuk perlawanan kedua.