SELANGOR FC menempah slot ke suku akhir setelah berjaya mara dengan agregat 3-0 setelah membenam pelawat Kelantan United 1-0 dalam aksi timbal balik di Stadium MBPJ, Kelana Jaya.

Perlawanan jelas dikuasai Selangor FC apabila mengawal perlawanan dengan memiliki deretan peluang berbahaya namun jentera serangan gagal menterjemahkannya kepada gol.

Herlison Caion mempunyai peluang seawal minit ke-13 babak pertama namun rembatannya sedikit tersasar melewati palang gol Kelantan United.

Selang tujuh minit kemudian, Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi dihadiahkan sepakan percuma selepas Caion dikasari pasukan pelawat.

Mukhairi segera melakukan rembatan deras ke pintu gol namun berjaya ditepis penjaga gol Kelantan United, Mohd Fikri Che Noh pada minit ke-20 sekaligus menggagalkan hasrat murni pemain tersebut.

Ahmad Zikri Mohd Khalili turut memiliki peluang terhidang di hadapan pintu gol namun pengadil terlebih dahulu berjaya mengesan situasi Zikri dalam posisi offside.

Percubaan half volley Hein Htet Aung pada minit ke-43 nyaris membuahkan gol pertama buat Gergasi Merah namun ledakannya tepat ke dakapan penjaga gol Kelantan United.

Sejurus babak kedua dimulakan, Hein Htet Aung sekali lagi menghadirkan gerun buat pertahanan Kelantan United FC apabila sepakan derasnya sekali lagi melewati palang gol lawan.

Minit ke-62, arkitek tengah Kelantan United FC, Julius Ziggy Ofori berjaya melakukan serangan balas yang hampir memecah kebuntuan pelawat namun sipi melewati pintu kiri gawang gol Kelantan United FC.

 

 

Menuju 10 minit terakhir, Sharul Nazeem Zulpakar hampir tertampan bola ke gawang sendiri namun berjaya diselamatkan Khairulazhan Khalid.

Mukhairi muncul wira Selangor FC apabila berjaya menjaringkan gol pada minit ke-89 menerusi sepakan percuma selepas pertahanan Kelantan United FC, Nik Akif Syahiran tertanduk bola masuk ke gawang sendiri.

Kedudukan tersebut kekal sehingga wisel penamat menyaksikan Selangor FC mara ke suku akhir dan bakal bertemu Negeri Sembilan FC.