NEGERI SEMBILAN FC berjaya mengesahkan tempat di suku akhir Piala Malaysia meskipun tidak dapat mencapai kemenangan ke atas Kedah Darul Aman FC dalam perlawanan timbal balik di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Walaupun mempunyai deretan peluang terhidang termasuk sepakan penalti, namun ianya tidak dapat diterjemahkan kepada jaringan untuk Skuad Jang terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 0-0.

Berbekalkan kemenangan 2-1 ketika bertandang ke Alor Setar, barisan pemain K.Devan memberikan aksi menyerang sejak awal permainan namun dihampakan ketangkasan penjaga gol Kedah.

Ifwat Akmal cemerlang menafikan tiga percubaan berbahaya Negeri Sembilan sebelum menggagalkan penalti Gustavo Almeida ketika perlawanan berbaki 20 minit untuk ditamatkan.

Kedah pula gagal mempamerkan persembahan terbaik apabila sering kehilangan bola di kawasan tengah dengan Ronald Ngah Wanja sesekali berjaya melepasi perangkap ofsaid namun dinafikan Syihan Hazmi di gawang Negeri Sembilan.

Dengan kekalahan ini, Kedah menutup buku Liga Malaysia 2022 dengan nota kecewa namun berjaya mengelak daripada tewas tujuh perlawanan berturut-turut.

Kemenangan Negeri Sembilan disambut gembira 8,350 penonton yang setia yang hadir di Paroi dengan menyanyi dan berpesta sebaik pengadil meniupkan wisel penamat sebagai tanda meraikan kejayaan pasukan layak ke suku akhir.

Negeri Sembilan bakal bertemu juara Piala Malaysia 33 kali, Selangor di peringkat suku akhir dalam satu lagi pertembungan yang dijangkakan menarik selepas ini.