PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) dilapor bakal melantik sorang jurulatih dari Indonesia bagi mengukuhkan struktur kejurulatihan beregu yang diketuai Rexy Mainaky.

Difahamkan, jurulatih terbabit dijangka memulakan tugasan bersama skuad kebangsaan seawal hujung tahun ini.

Ketika ini dia masih mempunyai tanggungjawab melatih skuad utama beregu Indonesia di bawah naungan Persatuan Bulutangkis Seluruh Indonesia (PBSI).

Jurulatih terbabit antara calon yang melalui proses temu duga bersama Pengarah Prestasi Tinggi BAM, Dr Tim Jones dan Rexy selaku Pengarah Kejurulatihan Beregu BAM.

Siapa bakal diambil sebagai jurulatih beregu negara? Desas desuss mengatakan jurulatih itu warga Indonesia dan masih melatih skuad di bawah PBSI.

Difahamkan, calon lain yang turut ditemu duga adalah seorang jurulatih dari Amerika Syarikat dan Korea Selatan selain beberapa calon tempatan.

BAM ini kekurangan jurulatih dalam acara beregu selepas Flandy Limpele dan Paulus Firman meninggalkan badan induk itu, awal tahun ini.

Flandy yang membantu beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik memenangi pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020 tahun lalu, kembali ke pangkuan PBSI sebagai jurulatih beregu campuran manakala Paulus kini memikul tugas selaku ketua jurulatih beregu Singapura.

Ketiadaan dua sosok itu menyaksikan Rexy hanya dibantu empat jurulatih dalam acara beregu iaitu Tan Bin Shen, Hoon Thien How, Teo Kok Siang dan Lee Meng Yean.