TINGGI saya satu meter sahaja!
Begitulah respon spontan Nur Jannaton Abdul Jalil, pemenang pingat emas pertama Para Sukma 2022, selepas menjuarai acara memanah Compound Terbuka Wanita.
Atlet negeri Perak itu mencatat 637 mata mengatasi dua pemanah Pulau Pinang, Nazirah Md Noor dan Nor Sa’adah Abdul Wahab yang memenangi pingat perak dan gangsa.
Atlet para kebangsaan itu berkata, pingat emas dimenanginya itu adalah yang pertama dalam acara individu sepanjang dua kali penyertaan di Para Sukma.
Penyertaan pertamanya pada edisi di Perak 2018, dia menang pingat emas acara Doubles Wanita.
Graduan Fizik Perubatan Universiti Sains Malaysia (USM) itu berkata, dia hanya terlibat dalam sukan Para selepas tamat pengajian di USM.
“Saya tidak pernah ada rakan orang kurang upaya (OKU) sebelum ini kerana ketika meneruskan pengajian di USM juga, saya berkawan dengan orang normal. Namun selepas tamat pengajian, say tidak berkerja dan tahu mengenai sukan memanah para ini menerusi Facebook Persatuan OKU.
“Jadi, saya cuba menyertai sukan ini dan bermulalah perjalanan saya dalam sukan memanah para,” kata atlet berusia 27 tahun yang hanya berketinggian satu meter yang lebih mesra dengan panggilan Janna.
Bergelar atlet sepenuh masa di bawah program MSN, atlet dari negeri Perak ini menjadikan juara dunia Sarah Jose Lopez sebagai idolanya.
“Dia atlet memanah normal dan saya suka melihat cara dia mengawal diri di padang. Jadi saya ikut pendekatan dia selain cara panahannya. Apa yang boleh saya gunakan untuk perbaiki prestasi saya, saya akan gunakan.
“Saya sentiasa belajar lebih-lebih lagi daripada mereka yang lebih senior,” kata pemanah yang meraih pingat emas di Temasya Para ASEAN, di Solo, Indonesia, baru-baru ini dalam acara Compound Beregu Campuran.
Janna yang sudah layak ke temasya Para ASIAN Guangzhou, tahun hadapan, mahu melayakkan diri ke Sukan Paralimpik Paris 2024.