KETUA jurulatih Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain menyifatkan karakter skuad kendaliannya membantu kemenangan 4-2 ke atas Sri Pahang FC untuk mara ke suku akhir Piala Malaysia.

Pengendali meningkat naik itu berkata, TFC mempamerkan tahap disiplin dan semangat juang yang tinggi setelah terpaksa bermain dengan 10 pemain sejak babak pertama.

Nafuzi berkata, beraksi dalam cuaca buruk serta keadaan padang becak menyukarkan lagi tugas skuad bimbingan beliau untuk mempertahankan kelebihan gol.

“Bukan tugas mudah untuk kami beraksi kekurangan seorang pemain dengan permukaan padang tidak begitu baik selain memaksa pemain-pemain memberi usaha yang luar biasa.

“Faktor kemenangan adalah kami bekerja sebagai satu unit dan pemain juga bermati-matian untuk terus mara dalam kempen Piala Malaysia tahun ini,” jelasnya kepada FLASH SUKAN.

Menurut Nafuzi lagi, kemenangan selesa itu adalah di luar jangkaannya dengan pasukan lawan menambah serangan pada babak kedua menuju hujung permainan.

“Berdasarkan senarai kesebelasan utama, saya tahu Sri Pahang turun dengan misi menjaringkan gol, tetapi jaringan TFC seawal minit kedua menambah keyakinan kami.

“Sri Pahang berhasil menjaringkan dua gol selepas rehat. Apa pun, saya bangga dengan persembahan pemain-pemain TFC yang mahu mara lebih jauh dalam Piala Malaysia,” jelasnya.