PENYERANG import Sri Pahang FC, Manuel Hidalgo, mahu melupakan kekecewaan tersingkir awal daripada semua kejohanan domestik musim ini.

Menurut pemain Argentina itu, skuad Tok Gajah mengharungi Liga Malaysia (Liga M) yang sukar dengan masalah prestasi serta pertukaran jurulatih di pertengahan liga.

Hidalgo, 23, berkata, kehadiran semula Datuk Dollah Salleh sebagai pengendali berjaya menyuntik semangat baharu namun sudah terlewat untuk mengubah nasib Sri Pahang.

“Secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan prestasi peribadi memasuki tahun kedua bersama pasukan ini. Apa pun, masih banyak yang perlu dipelajari musim depan.

“Pasukan ini memiliki potensi yang besar dan sentuhan jurulatih (Dollah) membantu skuad Tok Gajah mencatat keputusan positif cuma nasib tidak menyebelahi kami.

“Dengan kontrak berbaki setahun lagi, perancangan saya buat masa ini untuk berehat dan kembali bangkit musim depan,” jelasnya kepada FLASH SUKAN.

Aksi Hidalgo (kiri) semasa bertemu Terengganu di Gong Badak pada Pusingan 16.

Sri Pahang tersingkir awal di pusingan 16 Piala Malaysia serta peringkat suku akhir Piala FA selain sekadar menamatkan Liga Super di tempat ketujuh musim ini.

Penyingkiran Sri Pahang daripada TM Piala Malaysia itu hadir selepas mereka menamatkan Liga Super di kedudukan ketujuh serta Piala FA di peringkat suku akhir.

Hidalgo yang mencetak tujuh gol dalam 25 penampilan menjelaskan, skuad Sri Pahang tetap boleh berbangga dengan pencapaian musim ini meskipun gagal merangkul sebarang trofi.

Jelasnya, mereka telah memberikan aksi terbaik selain optimis Sri Pahang mampu membentuk pasukan lebih mantap bagi mencabar kejuaraan pada 2023.