SIKAP terlalu menghormati lawan dalam gelanggang tidak akan membantu kemajuan seseorang pemain badminton, malah boleh menjatuhkan lagi semangat sekiranya seseorang pemain itu kerap mengalami kekalahan.

Soh Wooi Yik berkata, dia dan Aaron Chia sememangnya mengharapkan pemain junior lebih cepat mencapai kejayaan namun mengakui kejayaan tidak datang jika tidak mempunyai hati yang besar, impian yang tinggi dan kesungguhan yang jitu.

“Mentaliti amat penting kerana kadang-kadang mereka tidak ada hati besar untuk capai satu-satu benda, seperti kami juga, kami perlu ada hati besar untuk menang gelaran.

“Seperti dalam latihan, latihan keras amat penting, bukan usaha keras di gelanggang pertandingan sahaja. Ini tidak, dalam latihan bersama kami, mereka nampak terlalu ‘respect’, sepatutnya mereka cabar kami dengan bersungguh-sungguh, baru beroleh kemajuan dalam permainan seperti kami dulu juga, kami cabar Goh V Shem-Tan Wee Kiong, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin, bersungguh-sungguh dan dapat lihat kemajuan,” kata Woo Yik.

Dia mengulas perkara itu ketika ditemui selepas Majllis Penyampaian Insentif Kepada Atlet dan Jurulatih Wilayah Persekutuan yang menyumbang pingat emas dan kejuaraan sepanjang 2022, di temasya Sukma, Sukan Komanwel, Sukan Perpaduan Islam, Sukan SEA serta kejohanan sukan lain dalam dan luar negara.

Soh Wooi Yik berharap pemain junior menggunakan kesempatan dalam latihan, mencabar status Juara Dunia dimenanginya dan Aaron Chia. 

Wooi Yik bersama Aaron muncul Juara Dunia Ogos lalu, menjadi pemain badminton negara pertama meraih gelaran itu.

Namun pada dua kejohanan lalu, gandingan ranking keempat dunia ini kandas di separuh akhir Terbuka Denmark sebelum disingkir seawal pusaingan pertama di Terbuka Perancis.

“Ya saya alami kecederaan bawah lengan seperti Aaron sebelum ini dan apabila pergi ke Denmark, saya belum 100 peratus pulih. Saya beritahu jurulatih mahu beraksi kerana mahu mencabar diri namun hanya mampu ke separuh akhir di Denmark dan tersingkir awal di Perancis,” katanya.

Wooi Yik turut mengakui tekanan mula membebani dia dan Aaron terutamanya apabila peminat menganggap selepas muncul Juara Dunia, mereka wajib menang kejohanan lain.

Namun dia masih terus mencuba untuk mengabaikan tekanan sebegitu dan kini mahu fokus memberikan yang terbaik pada saingan Jelajah Akhir Dunia.

“Lebih penting untuk kami fokus setiap perlawanan dan mendaptkan konsistensi iaitu contohnya bermain sekurang-kurangnya ke semi final di setiap kejohanan.

“Jadi untuk Jelajah Akhir Dunia, kami letakkan sasaran ke separuh akhir dahulu kerana pemain yang layak bukan calang-calang dalam senarai  lapan terbaik ranking Jelajah Dunia,” kata Wooi Yik lagi.

Selepas kembali dari Eropah, Wooi Yik berkata, mereka akan mula jalani latihan penuh minggu hadapan dan akan menggunakan tempoh kira-kira tiga minggu sebagai persediaan terbaik menjelang saingan Jelajah Akhir Dunia, di Guangzhou, China.