PERTAHANAN kental Kuala Lumpur City FC, Giancarlo Gallifuco tidak kisah jika pasukannya dianggap sebagai pasukan buka pilihan kerana mereka lebih senang dengan anggapan ini kerana dapat mengurangkan tekanan ketika permainan.

Pemain yang mesra disapa GG itu bersedia menanti cabaran yang bakal hadir daripada ayam tambatan Terengganu FC, Kpah Sherman apabila kedua-dua pasukan bakal bertemu di peringkat suku akhir Piala Malaysia pada 6 November.

Dia juga percaya komunikasi antara dirinya dan barisan pertahanan sangat baik dan ini adalah kunci utama buat KL City dan berharap dapat memberikan aksi yang boleh dibanggakan oleh penyokong KL City.

Pengalaman bermain sehingga final Piala AFC juga banyak membantu menaikkan keyakinan para pemain meskipun terpaksa menempuh lebih banyak permainan dan sedikit keletihan.

“Sudah pasti Terengganu FC berada pada tahap prestasi terbaik dan dalam bahasa mudah, mereka adalah pilihan dalam suku akhir ini namun kami sudah biasa menjadi pasukan bukan pilihan dan kami sangat menggemarinya.

“Kami akan lakukan perkara yang biasa kami lakukan, mengikuti arahan jurulatih dan cuba untuk menjadi kompak sebagai satu unit dan berharap dapat memberikan aksi terbaik yang dapat membanggakan penyokong kami.

“Kpah Sherman sudah tentu adalah salah seorang penyerang terbaik di Liga Malaysia, saya hanya pernah bertemunya sekali tahun lalu dan pastinya ianya adalah satu cabaran yang hebat buat saya dan barisan pertahanan.

“Kami sudah melakukan kerja rumah dan bekerja sebagai satu unit dengan komunikasi menjadi elemen terpenting ketika di dalam padang kerana kami tidak bertahan sendiri sebaliknya sebagai satu pasukan dengan saya dan Irfan Zakaria mempunyai karisma yang baik kerana sudah bermain lebih 50 perlawanan bersama-sama.

“Sudah tentu beraksi di Piala AFC banyak membantu kami dalam meningkatkan keyakinan dalam diri meskipun sedikit keletihan kerana kami bermain lebih tujuh perlawanan dengan tiga penerbangan antarabangsa yang memenatkan,” katanya yang ditemui FLASH SUKAN selepas sesi latihan.

Pemain KL City FC ketika sesi latihan menjelang aksi menentang Terengganu FC

Pemain import kesayangan penyokong KL City itu juga turut menyeru kepada semua penyokong untuk sama-sama hadir ke stadium untuk memberikan sokongan kerana dia sudah menganggap penyokong KL City umpama keluarganya sendiri.

“Musim ini sangat indah buat kami. Tangga keenam Liga Super dan naib juara Piala AFC adalah satu perjalanan yang indah buat kelab ini dan saya berharap semua penyokong hadir ke stadium untuk menyokong kami walaupun penyokong kami tidak ramai tetapi mereka sudah dianggap sebagai keluarga.”

Kuala Lumpur City FC yang dalam misi mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia bakal berhadapan Terengganu FC dalam aksi suku akhir yang pastinya menarik perhatian peminat bola sepak tempatan.