KEMALANGAN motosikal kira-kira 15 tahun lalu pernah membuatkan pemain badminton para Negeri Sembilan, Mohd Saifulazzlan Yahya putus harapan.
Atlet berusia 34 tahun yang melakukan penampilan kali keempat pada Para Sukan Malaysia (Sukma), hari ini, kandas di pusingan kalah mati perseorangan lelaki kategori SU5 (kecacatan fizikal bahagian atas badan) apabila tunduk kepada wakil Perak, Ahmad Affendi Razaman 12-21, 13-21 dalam aksi di Stadium Juara, Bukit Kiara, di sini.
Menceritakan kenangan pahit yang menimpanya pada 2007, Saifulazzlan berkata, dia terbabit kemalangan ketika menunggang motosikal dalam perjalanan pulang dari sekolah di Kemaman, Terengganu.
“Pada masa itu, saya belajar di tingkatan enam. Motosikal yang saya tunggang saya secara tiba-tiba hilang kawalan lalu bertembung dengan seorang lagi penunggang motosikal yang hendak masuk simpang.
“Akibat kemalangan itu, saya terhumban ke dalam longkang dan menyebabkan kecederaan pada tangan kiri saya,” katanya, kepada kepada Flash Sukan.
Tambah Saifulazzlan, kemalangan itu menyebabkan urat tangan kirinya putus dan tidak boleh digerakkan.
Atlet kelahiran Terengganu itu berkata, akibat kecederaan serius yang dialami, ototnya tidak lagi berfungsi sehingga menyebabkan tangan kirinya mengecut.
“Saya ambil masa setahun untuk terima hakikat yang keadaan fizikal saya tidak seperti dulu. Lama-kelamaan saya mula berfikir, mungkin apa yang berlaku atas kesilapan sendiri kerana saya nakal di sekolah dahulu.
“Lama-kelamaan saya redha dan mula bangkit mengubah nasib diri. Selepas setahun, saya sambung belajar di Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan dekat Bangi,” katanya yang kini berkhidmat sebagai pekerja syarikat swasta.
Pada awal pembabitannya dalam sukan para, Saifulazzlan tampil bersama empat negeri berbeza pada temasya tersebut.
Dia mula berjinak-jinak dalam sukan para selepas diperkenalkan seorang rakan dan sejak itu dia bergiat aktif sebagai pemain badminton.