PERTAHANAN Selangor FC, Yazan Abu Al-Arab ingin melupakan detik hitam ketika Selangor FC tewas di laman sendiri 3-2 kepada Negeri Sembilan FC pada aksi Liga Super sebelum ini.
Jelasnya, saingan Piala Malaysia kali ini merupakan medan terbaik bagi pasukan melengkapkan misi membalas dendam terhadap Negeri Sembilan FC ekoran kekalahan memalukan pada saat akhir di laman sendiri sebelum ini.
Pemain kelahiran Jordan itu percaya pasukan perlu meningkatkan fokus sekiranya mengimpikan untuk membenam Negeri Sembilan FC pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia Ahad ini.
“Ya, ini adalah masa terbaik untuk balas dendam. Kita telah mengatasi mereka 2-0 pada separuh masa pertama. Tetapi pada akhir perlawanan kita tewas 3-2.
“Ini adalah bola sepak. Jika kita tidak fokus 90 minit, kita akan tewas. Jadi, apa yang kita akan buat adalah untuk menambahkan fokus kami dan kami akan cuba bawa kemenangan dalam perlawanan ini,” ujarnya kepada media pada sesi latihan pasukan, Jumaat.
Tambahnya lagi, persiapan pasukan telah berada pada tahap terbaik serta berharap faktor nasib akan memihak kepada Selangor FC dalam saingan lusa ini.
“Kami berlatih dengan keras. Kami akan mengikuti arahan jurulatih. Kami harap tuah akan memihak kepada kami. Selalunya kami memiliki banyak peluang, cuma sukar mencari gol. Jadi kali ini, kami mengharapkan peluang tersebut akan disudahkan dengan jaringan gol,” jelasnya.
Tidak dilupakan juga kepada peminat, Yazan menyeru semua penyokong agar hadir menjadi tulang belakang kepada pasukan bagi menyuntik semangat Selangor FC melakar kemenangan.
“Kami merindui semua penyokong. Kami mahu mereka menyokong kami di stadium dan kami akan menjelmakan kemenangan dengan izin Allah,” kongsinya.