PERTAHANAN Terengganu FC (TFC), Shahrul Nizam Ros Hasni, kecewa perlu melupakan aksi suku akhir pertama Piala Malaysia bertemu KL City FC, Ahad ini.

Menurut pemain berusia 24 tahun itu, dia hanya mampu berdoa agar rakan-sepasukannya meraih keputusan positif bertemu juara bertahan itu.

Shahrul Nizam terpaksa diketepikan gara-gara layangan kad merah ketika TFC mengatasi Sri Pahang pada pertemuan timbal balik pusingan 16 di laman sendiri, Selasa lalu.

“Situasi kad merah itu berlaku terlalu pantas dan saya sangat kecewa dengan tindakan itu. Bagaimanapun sebagai pemain, ianya adalah lumrah dan saya harus belajar dari kesilapan.

“Saya bertuah dikelilingi rakan-sepasukan dan penyokong yang tetap memberi sokongan moral agar saya melupakan insiden buruk itu dan terus mara ke depan.

“Diharap ketiadaan saya tidak dirasai pasukan untuk membawa pulang keputusan positif dan bekalan selesa menjelang aksi timbal balik, minggu depan,” katanya kepada FLASH SUKAN.

Tambah Shahrul Nizam, jentera serangan skuad ibu kota itu wajar diberi perhatian dengan kualiti dimiliki trio, Romel Morales, Zhafri Yahya dan Paulo Josue.

“Ketua jurulatih (Nafuzi Zain) pasti ada perancangan tersendiri dan saya harap peminat setia yang turut serta ke gelanggang lawan dapat meneruskan sokongan padu,” tambahnya.