PENGENDALI Kelantan FC, Rezal Zambery Yahya sedikit kecewa dengan kekalahan 0-3 di tangan Johor Darul Ta’zim (JDT) namun memuji anak-anak buahnya meskipun sedikit gopoh dan kurang tenang sepanjang 90 minit permainan.

Rezal turut mengakui kecederaan yang melanda Fazrul Amir merencatkan strategi yang telah dirancang dan sedar bukan mudah untuk bertemu lawan seperti JDT jika pemain terlalu awal kehilangan bola.

Selain itu bekas pemain kebangsaan itu gembira dengan kehadiran lebih 20,000 penyokong ke Stadium Sultan Muhammad Ke-IV dan berharap sokongan ini dapat diteruskan selepas ini.

“Perasaan saya agak sedikit kecewa namun pada saya kita dapat lihat kualiti yang ada pada pemain JDT. Kami cuba untuk menyaingi mereka tetapi kami melepaskan dua gol yang tidak sepatutnya namun pemain sudah memberikan yang terbaik dan beri satu permainan yang boleh dipuji.

“Apabila bertemu pasukan sebaik JDT, pemain saya dinasihatkan untuk jangan terlalu cepat kehilangan bola kerana kami pula yang akan sentiasa berada dalam tekanan dan saya perlu perbaiki kesilapan ini.

“Pemain saya terlalu gopoh untuk melakukan serangan. Mereka sudah diingatkan tentang perancangan kami untuk bermain ‘counter attack’ tetapi kerana kurang ketenangan, kami pula tertekan apabila mereka menekan kami semula.

“Kami juga tidak menjangkakan Fazrul Amir cedera terlalu awal dan apabila dia keluar, perancangan berubah dan kami menjadi lebih bertahan namun kami sedar bukan mudah apabila bermain dengan JDT.

“Kehadiran penyokong ke stadium menunjukkan satu perkembangan yang baik dengan aura Kota Bharu yang sudah lama mengimpikan suasana seperti ini dan sokongan seperti ini perlu diteruskan kerana ianya menjadikan bola sepak kita lebih menarik,” kata Rezal dalam sidang media selepas perlawanan.

Rezal turut gembira dengan prestasi pasukan Kelantan yang berjaya menepati sasaran yang ditetapkan pengurusan untuk sekurang-kurangnya layak ke suku akhir Piala Malaysia.

Dia juga akan melihat kepada barisan pemain yang bersedia menggalas tempat di bahagian serangan bagi menggantikan Nurshamil yang cedera dan Jasmir Mehat yang digantung dan berharap para pemainnya dapat memberikan aksi terbaik apabila bertandang ke Iskandar Puteri untuk perlawanan timbal balik, 11 November 2022.

Kelantan, naib juara Liga Premier 2022 berjaya layak ke suku akhir Piala Malaysia selepas membenam cabaran Sarawak United di peringkat 16 terbaik dan kini mempunyai tugas getir di Stadium Sultan Ibrahim apabila sudah ketinggalan 0-3 secara agregat.