TERSINGKIRNYA pasukan Kedah Darul Aman (KDA) FC dalam kancah TM Piala Malaysia membuatkan pemain yang bakal tamat kontrak segera mencari kelab baharu.
Salah seorangnya adalah tonggak import Sang Kenari, Mahmoud Al Mardi yang kini bingung belum mengetahui nasib bersama kelab utara itu bagi musim depan.
“Pertama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua peminat atas sokongan mereka sepanjang masa.
“Saya tahu saya berada di sini untuk tempoh yang singkat tetapi kelab ini berasa seperti rumah saya dengan semua kasih sayang dan sokongan yang saya perolehi.
“Saya sangat berbesar hati untuk mewakili dan memakai logo pasukan ini dan semua orang yang bertanya saya bagi kemungkinan memperbaharui kontrak saya untuk musim depan.
“Sehingga kini, saya benar-benar tidak tahu apa yang akan berlaku, tetapi saya perlu fokus kepada pasukan kebangsaan dan berehat bersama keluarga.
“Doakan kejayaan saya. Pulun Kedah Pulun” katanya.
Al Mardi sememangnya kerap membarisi skuad KDA FC semasa di bawah kendalian Aidil Sharin Sahak dan membantu kelabnya mara ke separuh akhir Piala AFC 2022 zon Asia Tenggara.
Kedah bakal berwajah baharu selepas pengurusan Kedah bertindak menyingkirkan pemain tidak berprestasi tinggi dalam saingan Liga Malaysia musim ini.