JENTERA tengah Selangor FC, Aliff Haiqal Lokman Hakim Lau menganggap jaringannya pada minit-minit akhir perlawanan aksi pertama suku akhir Piala Malaysia merupakan rezeki tidak ternilai dari tuhan.
Biarpun hanya 13 minit dimasukkan di separuh masa kedua, namun dia berjaya menghadiahkan gol kedua tersebut buat pasukan dan keluarganya.
“Rezeki saya malam ini. Gol itu saya hadiahkan untuk pasukan dan keluarga. Keluarga saya gembira. Kalau mereka gembira saya turut gembira,” ujarnya ketika ditemubual media selepas tamat perlawanan di Stadium MBPJ, Kelana Jaya malam tadi.
Bagaimanapun, latihan intensif perlu ditingkatkan kerana biarpun hadir dengan lebih 20 percubaan, namun masih gagal menemui sentuhan penyudah yang banyak bagi menembusi benteng terakhir Negeri Sembilan FC.
ARTIKEL BERKAITAN : Layak ke suku akhir Piala FA hadiah hari jadi terbaik
“Bagi saya kita harus banyak lagi perbaiki dari segi penyudah kerana kita berjaya menghasilkan lebih 20 peluang di hadapan gol namun hanya berjaya menjaringkan dua gol sahaja. Jadi, ia masih tidak bagus lagi. Kita harus terus berlatih lebih untuk melakukan penyudah berkesan, ” katanya.
Sejak Cheng Hoe mengambil tugas dari jurulatih Jerman, Michael Feichtenbeiner, corak permainan Gergasi Merah telah banyak berubah dengan kini lebih bermain secara possession football.
Taktikal terbaru itu juga berjaya diadaptasi pemain dengan segera dan dilihat berkesan kerana biarpun baru membimbing pasukan Selangor, namun Selangor berjaya mencatatkan perlawanan ketujuh berturut-turut tanpa kalah sejak dia mengambil alih pasukan Selangor FC.
“Tan Cheng Hoe banyak beri kita perubahan yang banyak dari gameplay. Kalau kita tahu coach Tan gemar untuk gerakkan bola dan tidak hilangkan bola.
ARTIKEL BERKAITAN : Pemain gantian bawa tuah buat Selangor FC
“Bagi saya, dulu kita punya pattern of play berbeza. Jadi, bagi saya semua pemain mampu mengadaptasi dengan segera apa yang jurulatih mahukan. Kita boleh lihat pasukan Selangor semakin baik dari 4 perlawanan terakhir Liga Super ke Piala Malaysia, nampak banyak perubahan,” jelasnya.