KEDUDUKAN Datuk Misbun Sidek sebagai Pengarah Program Pembangunan Remaja Persatuan Badminton Malaysia (BAM) masih selamat.
Namun, beliau perlu segera menyediakan struktur baru program remaja, bagi memastikan pembangunan skuad remaja berada di landasan tepat.
Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh berkata, pihaknya masih menaruh kepercayaan kepada jurulatih berpengalaman itu.
“Kami masih memberi peluang kepadanya, dan dia (Misbun) perlu menyerahkan kepada kita, dengan seberapa segera struktur baru program pembangunan remaja.
“Mungkin dia perlu duduk bersama pihak-pihak berkaitan seperti mereka yang pakar dalam sains sukan, pentadbiran dan akhirnya hasilkan satu struktur pembanhunan yang lebih baik. Dia tahu apa yang perlu dia lakukan,” kata Kenny, ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM).
Kedudukan Misbun menjadi tanda tanya selepas prestasi dipamerkan sluad remaja pada saingan Kejohanan Remaja Dunia di Santander, bulan lalu cukup mengecewakan dan boleh dianggap antara prestasi terburuk skuad negara.
Pada kejohanan itu, skuad berpasukan campuran remaja negara sekadar menamatkan saingan di kedudukan kesembilan, manakala acara individu, tiada seorang wakil negara yang melangkah ke perongkat duku akhir.
Pencapaian terbaik negara di kejohanan itu adalah pada 2011, apabila Malaysia muncul pemenang pingat emas acara berpasukan campuran, perseorangan lelaki dan beregu lelaki.