PRESTASI semasa Ng Tze Yong yang agak hambar disebabkan pemain itu dalam proses mendapatkan rentak permainan.

Jurulatih perseorangan Hendrawan berkata, selepas beberapa bulan menjalani latihan ‘physical conditioning’ dan ‘physical strength’, corak permainannya mula bercelaru.

“Memang beberapa bulan selepas Sukan Komanwel, kita fokuskan dia kepada latihan untuk fokus kepada kekuatan di bahagian bawah, iaitu kaki kerana itu adalah asas penting. Seperti kita buat bangunan, asasnya sangat penting bagi memastikan bangunan itu kukuh.

“Jadi, apabila fokus kepada kekuatan kaki, corak permainannya lari dan mula hilang ‘feeling’.

“Pada saingan di Indonesia Masters pula, dia bermain terlalu laju kerana berasa kakinya sangat ringan sedangkan bermain laju bukan corak permainannya. Tze Yong bukan seperti Lee Zii Jia yang mempunyai kekuatan smash. Jadi kita harap dengan menghantarnya ke Terbuka Australia, dia dapat mencari rentaknya semula,” kata Hendrawan, ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM).

Ng Tze Yong dalam proses mencari identiti permainannya selepas menjalani latihan kecergasan dan kekuatan bawah badan-Hendrawan.

Katanya, jika di Indonesia Masters, pergerakan dan permainan Tze Yong terlalu pantas, aksinya di Terbuka Hylo, Jerman pula terlalu perlahan.

Menurutnya, apa yang dilalui Tze Yong ketika ini adalah satu proses yang perlu dia tempuhi.

Justeru, dalam perjalanannya ke arah yang lebih baik, dia akan berdepan siatuasi seperti melakukan kejutan ke atas pemain yang ada nama dan ada masanya dia akan tersingkir awal, sebelum dia mula matang dalam permainan.

Tze Yong akan beraksi di Terbuka Australia yang bermula 15 hingga 20 November iaitu kejohanan berstatus Super 300.

Ng Tze Yong perlu berada dalam kelompok ranking 32 terbaik menjelang hujung tahun ini.

“Kita hantar Tze Yong ke kejohanan 300 ini dalam usaha dia melonjakkan ranking sekurang-kurangnya 32 terbaik dunia menjelang tahun hadapan, supaya apabila memasuki tahun 2024, dia mendapat peluang untuk beraksi dalam kejohanan berstatus 750 hingga 1,000.

“Jadi lebih mudah kita merancang baginya mendapatkan mata kelayakan ke Sukan  Olimpik,” kata Hendrawan.

Tambah beliau, nama Tze Yong turut disenaraikan menyertai kejohanan Cabaran Antarabangsa Bahrain 29 November hingga 4 Disember, sebagai pelan kecemasan sekiranya dia tidak mendapat keputusan baik di Sydney.

Tze Yong yang muncul pemenang pingat perak perseorangan lelaki di Sukan Komanwel, kandas di suku akhir Indonesia Masters, manakala di Hylo Open, dia tersingkir seawal pusingan pertama.