MENJULANG Piala Sultan Azlan Shah menjadi misi utama Razie Rahim sekali gus membuktikan program yang dilalui skuad hoki kebangsaan ‘on track’ dengan sasaran meanng pingat emas Sukan Asia.

‘Flicker’ skuad Speedy Tigers itu berkata, sasaran utama peribadinya sama dengan sasaran skuad kebangsaan untuk menjuarai edisi kali ini.

Katanya, seperti dikatakan ketua jurulatih A arulselvaraj, setiap perlawanan adalah perlawanan akhir dan pertemuan menentang Korea Selatan nanti tentunya menjadi perlawanan akhir yang muktamad.

“Kami sudah membuat Analisa lima perlawanan awal, melihat apa kesilapan yang kami lakukan dan berharap apa yang dirancang, menjadi pada perlawanan akhir nanti,” kata Razie kepada FLASH SUKAN.

Perlawanan menentang Jepun pada Isnin adalah penampilan ke-300 Razie Rahim bersama skuad kebangsaan

Perlawanan terakhir round robin menentang Jepun semalam menjadi penampilan ke 300 Razie bersama skuad senior kebangsaan.

Pada perlawanan itu, Razie menyempurnakan dua pukulan sudut penalti membolehkan Speedy Tigers mendahului 2-0 sebelum menang 4-2.

Ironinya, Razie mula mewakili menyertai skuad kebangsaan dan caps pertamanya adalah pada saingan Piala Sultan Azlan Shah 2006.

Mengulas mengenai peluang skuad negara di final nanti, terutamanya selepas tewas perlawanan pertama kepada lawan sama, Razie berkata, perlawanan akhir adalah cerita berbeza.

“Memang benar kita kalah pada perlawanan pertama, namun di final adalah perlawanan lain dan peluang kembali menjadi 50-50.

“Paling penting adalah semua pemain memberi komitmen 100 peratus dan tahu tanggungjawab masing-masing. Paling utama, berkerja sebagai sebuah pasukan kerana kami mahukan pingat emas di Sukan Asia dan kejuaraan di sini menjadi bukti perjalanan kami di landasan yang tepat,” kata Razie.

Pada perlawanan pertama Piala Sultan Azlan Shah 2022, Malaysia tewas 0-3 kepada Korea Selatan.

Pastinya peminat hoki tanah air turut mahukan keputusan memihak kepada Speedy Tigers di final Khamis nanti.

ARTIKEL BERKAITAN:

Malaysia tempah tiket ke final Piala Sultan Azlan Shah