PENCAPAIAN Speedy Tigers ke final Piala Sultan Azlan Shah 2022, menjadi revolusi baharu buat hoki negara.

Kejayaan membenam Jepun 4-2 pada perlawanan terakhir round robin pada Isnin menerbitkan keyakinan buat pengendali A Arulselvaraj, selepas pemainnya mempamer aksi goyah di awal kejohanan.

Katanya, pemain mempamerkan semangat, kepantasan dan berkerja sebagai satu pasukan.

Malah katanya, skuad negara juga menunjukkan ‘nafsu’ memburu jaringan walaupun sedang mendahului saingan.

“Apa yang membimbangkan saya adalah pemain mudah memberikan pukulan sudut penalti dan dilayangkan kad di akhir permainan. Mungkin mereka cemas atau terlalu teruja, tapi kita perlu belajar untuk menjadi lebih tenang. Itu perkara yang perlu saya usahakan.

“Saya juga gembira Hafizzudin (Othman), bangkit dan menunjukkan perwatakan hebat sebaik saya berbincang hati ke hati dengannya selepas perlawanan pembukaan yang menyaksikan kita tewas 0-3 kepada Korea Selatan,” katanya.

Skuad hoki kebangsaan meraikan jaringan pada perlawanan terakhir round robin menentang Jepun. Malaysia menang 4-2.

Kali terakhir Malaysia berjaya mara ke perlawanan akhir Piala Sultan Azlan Shah ialah 2014, namun tumpas 8-3 kepada Australia.

Bagaimanapun, aksi final edisi ke-29 ini sangat penting buat Malaysia terutama dalam misi untuk membalas dendam terhadap Korea Selatan selepas mereka tewas 1-2 dalam saingan Piala Asia di Jakarta Jun lalu.

Sementara itu, Korea Selatan mara ke perlawanan akhir selepas menduduki tangga teratas aksi round robin apabila mencatat empat kemenangan dan sekali seri.