BEKAS atlet lompat tinggi profesional negara, Lee Hup Wei menggesa Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu agar mencampur tangan isu yang melanda berkaitan Persatuan Olahraga Selangor (POS).
Secara rasional, apabila seseorang atlet atau bekas atlet bersuara tentang sesuatu isu melibatkan masa depan atlet seangkatan, itu bermaknanya ianya perlu diambil perhatian lebih mendalam.
Bekas atlet yang menyambut kelahiran yang ke-35 tahun hari ini berkongsi mengenai isu ‘dalaman’ persatuan yang melanda rakan-rakan atlet dan jurulatih sehingga menjejas masa depan mereka.
“Lebih kurang satu minggu lagi, Sukan SEA Hanoi akan bermula. Sukan SEA amat bermakna untuk saya kerana saya sudah mewakili negara di dalam kejohanan itu sejak 2005 di Manila dan membawa pulang 4 pingat emas. Tahun ini saya tidak mengambil bahagian.
“Banyak rakan-rakan atlet dan jurulatih yang menghubungi saya. Mereka kecewa kerana tidak dapat mewakili negara dalam Sukan Sea Hanoi. Mereka tidak dipilih bukan kerana tidak layak tetapi atas faktor-faktor dalaman persatuan sukan.
“Sebagai senior dalam bidang olahraga, saya perlu bersuara bagi pihak semua atlet.
“Sepanjang 18 tahun sebagai atlet olahraga, konflik dalaman persatuan sukan selalu berlaku. Namun situasi sekarang sudah kritikal.
“24 Mac lalu, Pesuruhjaya Sukan (PJS) telah membatalkan pendaftaran Persatuan Olahraga Selangor (POS). Saya mendapat tahu bahawa kes ini telah dibawa ke mahkamah.
“Tetapi anehnya, PJS telah pun membatalkan POS sebelum mahkamah membuat keputusan. Saya bukan pandai undang-undang, tetapi jika betul ada something fishy, ini sesuatu yang perlu diperjuangkan dan diberi perhatian serius oleh semua stakeholders sukan di Malaysia.
“Perkara ini menyebabkan banyak atlet dan jurulatih yang bernaung di bawah POS menerima kesan. Segala program untuk mereka terbantut dan boleh menutup peluang mereka untuk bertanding di Sukan SEA dan Sukma,” tulis Hup Wei panjang lebar di Facebook rasminya pada Khamis.
Jelas Hup Wei, POS sepatutnya menjadi pusat bagi membangunkan bakat atlet di peringkat akar umbi.
“Sebagai anak jati Kajang, saya juga bermula dengan POS. Malangnya POS digunakan untuk kepentingan pihak-pihak tertentu untuk kedudukan dan wang semata-semata. Mereka langsung tidak mengambil berat tentang kebajikan atlet. Mereka sanggup melihat POS terkubur daripada kehilangan kuasa.
“Saya benar-benar kecewa (frust) dengan keadaan ini. Sukan olahraga adalah sukan yang amat saya cintai. Saya mahukan sukan ini dipelihara dari segala unsur-unsur yang boleh merosakkan masa depan sukan ini.
“Ada orang mungkin melihat sukan sekadar aktiviti riadah, ada orang melihat sukan untuk self mileage, ada orang lihat sukan untuk business, tapi untuk kami para atlet, sukan adalah hidup kami.
“Saya Lee Hup Wei, bekas atlet lompat tinggi negara, menggesa Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Seri @Faizal Azumu untuk campur tangan dan menarik semula pembatalan POS. Saya tidak punya kuasa, kuasa saya hanya suara.
“Mohon yang berkuasa untuk membela nasib para atlet dan jurulatih seperti kami. Itu sahaja permintaan saya sebagai balasan sumbangan 18 tahun saya kepada negara.
“Maaf Zahir Batin,” tambah Hup Wei merayu.