BEKAS Bendahari Persatuan Olahraga Selangor (POS), Murugan Ramasamy malu dengan situasi terkini yang berlaku di persatuan tersebut.

Dalam laporan Flash Sukan pada Khamis, bekas atlet lompat tinggi profesional negara, Lee Hup Wei menggesa Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu agar campur tangan isu yang melanda berkaitan POS.

“Semalam saya ada baca statement dari wira lagendary negara, Lee Hup Wei. Dia bersuara tentang nasib atlet yang berlaku disebabkan POS dibubarkan.

“Sebelum ini saya meletakkan jawatan sebab saya protes masalah-masalah penyelewengan yang berlaku.

“Saya boleh lepaskan jawatan, tapi saya tidak boleh lepaskan olahraga. Itu saya punya jiwa. Sampai sekarang, saya masih melatih 14 atlet muda di kelab di bawah kelolaan POS.

“Apabila Pesuruhjaya Sukan PJS membatalkan POS, saya tidak tahu apa status terkini kelab-kelab olahraga di bawah POS.

“Paling saya simpati, nasib atlet-atlet pelapis Selangor. Disebabkan pembatalan POS, segala program yang kita rancang tergendala. Sampai ada beberapa ibu bapa yang berjumpa dengan saya untuk membawa anak mereka keluar dari program,” tulis bekas pemenang pingat perak Sukan SEA tahun 1995 di Chiang Mai itu dalam ruangan komen Facebook miliknya.

Murugan berkata, pada minggu hadapan, ada satu kejohanan penting di Johor. Disebabkan status POS yang tidak jelas, dia keliru atlet-atlet ini mahu bertanding mewakili siapa.

“Harus diingatkan, Sukma juga semakin hampir. Kami terpaksa mengeluarkan wang sendiri untuk yuran, pengangkutan dan penginapan 14 atlet di bawah saya. Nasib baik saya mendapat pertolongan dari ibu bapa mereka.

“Saya tidak kisah keluarkan wang untuk mereka. Sebab saya tahu saya sedang melabur untuk masa depan olahraga Selangor dan negara. Tetapi perkara ini tidak boleh berterusan.

“Disember tahun lepas, kita sudah melantik Presiden POS baru. Kami jurulatih lega sebab Presiden ialah bekas atlet. Mungkin dia akan lebih memahami.

“Tetapi tiba-tiba PJS tidak mengesahkan AGM tersebut. Apabila perkara ini di bawa ke mahkamah, PJS tidak menghormati perundangan dengan tiba-tiba membatalkan POS,” tulis Murugan.

Beliau turut mempersoalkan apakah motif sebenar politik yang berlaku ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Isu dalaman POS: “Saya Lee Hup Wei… merayu demi masa depan atlet olahraga”

“Apakah hubungan di antara PJS dengan bekas Presiden POS yang disingkirkan sebelum ini sebab salah laku penyelewengan duit? Pembubaran ini dilakukan tanpa sebab yang munasabah.

“PJS sepatutnya adil dan bebas. Namun keputusan yang diambil PJS ternyata berat sebelah dan dipengaruhi pihak tertentu.

“Oleh itu saya menggesa Menteri Belia dan Sukan, YB Faizal Azumu untuk masuk campur dan selesaikan masalah ini. Itu sahaja penamat bagi kemelut ini.

“Semakin lama kemelut ini berlarutan, semakin terkesan atlet dan jurulatih kita.

“Ini soal periuk nasi jurulatih dan atlet. Ini soal pembangunan sukan olahraga. POS tidak boleh dijadikan balapan untuk pihak-pihak tertentu berlumba merebut kuasa. Minta tolong YB Menteri KBS, selesaikan kemelut ini,” katanya lagi.