BANYAK kerja rumah perlu dilakukan jurulatih Afrika Selatan jika mahu mencapai target yang ditetapkan badan induk hoki negara itu di Piala Dunia nanti.

Jurulatihnya, Garreth Ewing berkata, berdasarkan prestasi pasukan dalam saingan Piala Sultan Azlan Shah kali ini, dia mendapat banyak input berguna.

“Sasaran 8 terbaik di Piala Dunia… sasaran sangat tinggi buat kami tapi saya perlu dapatkannya juga. Skuad ini masih muda dan peluang beraksi dalam perlawanan berintensiti tinggi sebegini amat baik buat mereka,” kata Garreth.

Afrika Selatan menamatkan saingan Piala Sultan Azlan Shah 2022 di kedudukan keenam, selepas tewas kepada Mesir 1-2 pada penentuan 5/6 petang Rabu.

Sugul… Jurulatih Afrika Selatan, Garreth Ewing perlu lakukan banyak rombakan pasukan dalam misi membawa pasukan ke kelompok lapan terbaik di Piala Dunia tahun hadapan.

Pada perlawanan itu, Afrika Selatan mendahului menerusi jaringan Connor Beauchamp pada minit ke-11, sebelum Mesir melakukan kebangkitan dengan jaringan Ziad Adel (m29) dan Hossameldin Ragab (m43).

Pada pusingan round robin, skuad itu tewas tiga gol tanpa balas.

Kemenangan ke atas Afrika Selatan dan menamatkan aksi Piala Sultan Azlan Shah di kedudukan kelima, cukup besar buat Mesir, apatah lagi mereka sekadar pasukan di ranking ke-20 dunia berbanding Afrika Selatan di kedudukan ke-14.

Ketika ditanya mengenai peluang sebenar Afrika Selatan di Piala Dunia, jurulatih itu optimis mampu menyediakan pasukan lebih baik.

Pemain Afrika Selatan Mohamed Mea cuba meloloskan diri dari asakan pemain Mesir Isail Abdalla Hossameldin Ragab

“Boleh dikatakan pasukan ke Piala Dunia hanya 50 peratus dalam skuad ini yang kebanyakannya pemain muda. Baki persiapan tinggal kira-kira dua bulan sahaja lagi, satu jangka masa yang amat penting buat kami.

“Kita lihat bagaimana prestasi akan datang pada saignan Piala Negara-Negara (Nations Cup) yang akan berlangsung di Afrika Selatan nanti,” katanya.

Afrika Selatan akan menjadi tuan rumah Piala Negara-Negara yang dijadual bermula 28 November hingga 4 Disember depan.

Pada saingan itu, Afrika Selatan diletakkan sekumpulan dengan Perancis, Ireland dan Pakistan.

Manakala satu kumpulan lagi membabitkan Kanada, Jepun, Korea Selatan dan Malaysia.