DATANG ke Ipoh dengan misi menjuarai Piala Sultan Azlan Shah, kegagalan ke final sudah cukup mengecewakan Jepun dan menambahkan kesedihan, pasukan dari negara matahari terbit itu terpaksa akur menamatkan saingan di kedudukan keempat selepas tewas kepada Pakistan.

Pada perlawanan penentuan tempat ketiga itu, Jepun terpaksa akur dengan barisan muda Pakistan apabila tewas 3-5.

Begitupun, jurulatihnya, Akira Takahashi punya alasan untuk menutup kegagalan itu.

“Ketika Piala Sultan Shah berlangsung ketika ini, di negara kami ada kejohanan untuk pemain muda, jadi perancangan saya untuk membawa pasukan lengkap tidak tercapai.

“Hujung bulan ini kami akan bersaing di Piala Negara-Negara (Nations Cup) di Afrika Selatan. Saya rasa masih ada masa untuk menukar pemain berbanding skuad yang saya bawa ini. Mungkin kami akank tiba lebih awal di Afrika Selatan nanti untuk melakukan persiapan,” kata Akira.

Pemain Pakistan meraikan jaringan ketika menentang Jepun pada perlawanan penentuan tempat ketiga Piala Sultan Azlan Shah

Pada saingan Piala Negara-Negara itu nanti, Jepun berada satu kumpulan dengan Malaysia, Korea Selatan dan Kanada dan pasukan itu akan membuka tirai saingan menentang Kanada pada 28 November ini.

Akira pastinya terdesak memperkuat pasukan apa lagi saingan Piala Dunia di Bhubaneswar, India, bakal berlangsung tidak sampai tiga bulan lagi.

Sementara itu, Pakistan yang tidak layak ke Piala Dunia pastinya lega dengan pencapaian ini.

Jurulatihnya, Muhammad Saaeed Khan berkata, dia akhirnyba berjaya memprogram semula pemikiran anak buahnya yang sering tewas dari segi mental setiap kali bermain dengan Jepun.

“Selama ini, pemain sering bermain baik menentang Jepun tetapi tewas. Jadi, saya perlu memprogram semula pemikiran mereka dan akhirnya berjaya dalam perlawanan ini,” katanya.