TERUJA dan tidak sabar menyelubungi perasaan Muhammad Amirul Hamizan Azahar, menjelang perlawanan akhir pertama dalam kerjaya sulung bersama skuad hoki senior kebangsaan.

Sejak terpilih untuk kaps pertamanya bersama skuad ke Piala Sultan Azlan Shah, dia sudah memasang tekad untuk membuktikan keputusan Ketua Jurulatih A Arulselvaraj memilihnya adalah tepat.

Diturunkan dalam semua aksi lima perlawanan di pusingan round robin, Amirul, 22, berkata, kegembiraannya tidak dapat digambarkan.

“Penampilan pertama saya ini amat besar dan hebat, bermula dengan perlawanan antarabangsa, kejohanan pertama dan juga final pertama. Jadi saya nak sangat bantu pasukan mendapatkan kemenangan kerana saya mahu Piala itu (Piala Sultan Azlan Shah) kekal di sini,” kata Amirul, penuh bersemangat.

Sebagai pemain yang kali pertama mewakili skuad senior kebangsaan, dia amat mengharapkan kehadiran dan sokongan padu penonton di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah.

Aksi Muhammad Amirul Hamizan ketika Malaysia menentang Afrika Selatan.

Dia yang menjaringkan satu gol ketika menentang Mesir, setakat ini berkata, kecederaan patah dan retak tulang tahun lalu sudah pulih sepenuhnya dan dia tidak berdepan trauma.

 

Artikel Berkaitan:

Piala Sultan Azlan Shah: Flicker Speedy Tigers mahu terus buru jaringan

Final Piala Sultan Azlan Shah: Speedy Tiger sedia 100 peratus ‘langgar’ Korea Selatan

 

Ditanya mengenai fizikalnya yang kecil untuk menghadapi saingan di tahap yang tinggi sebegini, dia berkata, hal itu tidak pernah mengganggu fikirannya.

“Bagi saya, fizikal memang penting tapi paling utama adalah hati, perlu kuat dan bercita-cita besar. Saya jadikan pemain senior seperti Meor (Muhammad Azuan Hassan) dan Faiz Helmi (Jali) sebagai contoh, mereka tetap mampu menjalankan tanggungjawab yang diberi jurulatih,” katanya.

Katanya, perlawanan akhir bermula jam 8 malam ini, dia dan pasukan ada misi khas dan dia akan mematuhi taktikal dan konsep yang ditekankan jurulatih, kekalkan momentum dan memberikan prestasi terbaik sepanjang perlawanan.