JOHOR DARUL TA’ZIM (JDT) bukan sahaja mencipta kejayaan di dalam padang tetapi mereka juga mempunyai misi kemanusiaan di luar padang terutama kepada kanak-kanak di Malaysia dan seluruh dunia.

Kerjasama Harimau Selatan dan UNICEF mewujudkan platform buat JDT untuk lebih dekat kepada kanak-kanak terutama bagi mereka yang kurang bernasib baik dengan kedua-dua entiti besar ini akan membantu kanak-kanak memenuhi impian.

Bersempena perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia menentang Kelantan FC di Stadium Sultan Ibrahim pada Jumaat, JDT dan UNICEF telah melancarkan kempen ‘Go Blue’ bagi meraikan Hari Kanak-kanak Sedunia.

 

Melalui kempen ini, semua penyokong yang hadir digalakkan untuk berpakaian biru yang simbolik dengan warna rasmi UNICEF dan juga warna jersi ‘home’ Harimau Selatan.

Sebelum ini, JDT telah menyokong kempen-kempen yang diterajui UNICEF dalam usaha memartabatkan impian kanak-kanak selain kempen keibubapaan menerusi kempen JDT SuperDads dan SuperMums.

Kempen For Every Child juga disokong menerusi pembukaan ‘booth’ oleh UNICEF di Stadium Sultan Ibrahim dengan para penyokong berpeluang untuk mengambil gambar dengan ‘standee’ saiz sebenar pemain-pemain JDT untuk dikongsikan di media sosial bagi membantu melindungi lebih ramai kanak-kanak.

UNICEF menjadi rakan kongsi kepada Johor Darul Ta’zim sejak 2020 dengan logo mereka diletakkan pada jersi ‘home’ dan ‘away’ JDT sebagai langkah strategik untuk menaikkan martabat kanak-kanak menerusi pendedahan melalui bola sepak.