BEKAS Jurulatih Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal memilih Brazil sebagai pasukan yang akan menjuarai edisi Piala Dunia Qatar 2022.
Jelasnya, pasukan tersebut yang diberi jolokan ‘The Samba’ telah lama menjadi pasukan kegemarannya namun beliau percaya sebarang pasukan turut memiliki peluang seimbang dalam perebutan piala berprestij di dunia itu.
“Saya adalah penyokong tegar pasukan Samba iaitu Brazil. Tetapi bola sepak adalah sesuatu yang kadang-kadang boleh berlaku sebaliknya. Namun, bagi saya Brazil tetap menjadi pilihan saya,” katanya ketika ditemui media sempena Adidas Official Match Ball Roadshow pada Khamis.
Dalam pada itu, beliau juga turut meminati corak bola jenama Adidas yang dihiaskan bagi kempen terulung sukan bola sepak yang hanya menemui rakyat seluruh dunia empat tahun sekali.
“Coraknya menarik. Kelajuan bola juga baik. Ia menunjukkan corak simbolik aksi di Qatar dengan benderanya semua. Saya juga tidak sabar untuk bermain menggunakan bola tersebut,” ujarnya.
Selain itu, Majlis Perasmian Adidas Official Match Ball Roadshow kali ini juga merupakan antara saluran bagi menghangatkan lagi acara terulung bola sepak peringkat dunia yang dirasai bukan sahaja di bandar malah di kawasan sekitar kampung.
“Saya rasa majlis hari ini mengimbau kembali tentang bola sepak jenama Adidas dan juga tentang Piala Dunia. Semua orang teruja menyaksikan acara terbesar dunia.
“Mereka sedang menunggu kehangatan sepak mula Piala Dunia. Saya rasa semua yang hadir pada hari ini ingin menyaksikan pelancaran bola sepak rasmi Piala Dunia.
“Saya jangkakan semua pasti mahu memiliki bola ini dan bermain di sekitar kampung serta memberi motivasi untuk menantikan kehangatan Piala Dunia,” jelasnya.
Sementara itu, Pengurus Adidas Malaysia, Sharmin Photographer mempunyai dua pasukan yang diminatinya iaitu Jerman dan Argentina.
Sharmin menjelaskan sokongannya kepada skuad Argentina adalah disebabkan pemain lincah bernama Lionel Messi yang menjadi pemain yang berjaya menambat hatinya ketika berada di atas padang dengan kepantasan yang dimiliki seiring dengan teknologi baharu bola jenama Adidas yang memiliki kelajuan baharu.
“Saya menyokong Jerman namun pada masa yang sama saya penyokong Messi, jadi selamat maju jaya untuknya. Itu adalah antara doa dan harapan untuk menyaksikan saingan Piala Dunia yang menarik dan hebat.
“Kelainan bola sepak yang dicipta khas untuk Piala Dunia Qatar kali ini merangkumi aspek kelajuan tertinggi berbanding bola sepak yang dicipta Adidas sebelum ini serta mempunyai teknologi yang jauh lebih baik dari bola sebelum ini,” kongsinya.