AKSI penting perlawanan pembukaan menentang Bawah-23 (B-23) Thailand pada Sabtu dalam Kumpulan B Sukan SEA Hanoi menjadi modal hala tuju skuad B-23 Malaysia untuk merealisasikan sasaran ke fasa separuh akhir edisi kali ini.
Kemenangan harus dicapai pasukan negara walaupun banyak pemerhati memilih sukar buat anak didik Brad Maloney untuk meraih tiga mata penuh, malah jika mencatatkan keputusan seri dianggap sudah memuaskan.
Setelah menghadapi Thailand pada aksi pertama, secara berturut-turut B-23 negara akan menghadapi Laos (11 Mei), Singapura (14 Mei) dan Kemboja (16 Mei).
Tumpuan semestinya terarah kepada dua tonggak yang beraksi di luar negara, Luqman Hakim Shamsudin dan Muhammad Hadi Fayyadh Abdul Razak untuk menyerlahkan kemampuan sebenar di Sukan SEA.
“Harapan saya kepada Malaysia adalah menang emas di Sukan SEA Vietnam kerana generasi yang ada sekarang adalah yang terbaik selepas era Datuk Ong Kim Swee.
“Walaupun berada di luar negara saya sangat mengikuti perkembangan bola sepak Malaysia dan ini saat yang tepat untuk membuktikannya,” kata jurulatih kelab Muktijoddha Sangsad KC, Raja Isa Raja Akram Shah kepada Flash Sukan.
Dia yakin setiap pemain dipilih Maloney mampu menggalas misi diamanahkan dan menterjemahkan kembali dengan keputusan positif.
“Skuad B-23 Malaysia ada potensi besar kejohanan kali ini. Saya lihat ramuan pemain baru dan kehadiran Luqman serta Hadi dapat membantu membentuk pasukan terbaik dalam kempen ini.
“Perlu kekal positif dan paling penting fokus lawan Thailand. Saya pasti kita boleh atasi mereka pada perlawanan pertama” ujarnya lagi.
Bagi penulis, inilah masanya untuk pemain negara bangkit bersama-sama jurulatih Maloney untuk berjuang habis-habisan atas padang walaupun lawan menyenaraikan nama besar yang mewakili kelab luar Thailand.
Daripada 20 pemain yang dibawa, tiga di antaranya adalah Benjamin Davis (Oxford United), Chayapiat, dan Jonathan Khemdee (Odense BK/Denmark. Alexandre Poelking juga memanggil dua pemain berketurunan Thailand-Sweden, William Weidersjo dan Patrik Gustavsson.
Terdahulu, para pemain diberikan peluang untuk meninjau keadaan padang Stadium Thien Truong, Nam Dinh dan kesempatan itu dimanfaatkan sepenuhnya untuk merasai permukaan padang yang menggunakan jenis rumput Bermuda di venue tersebut.
Pasukan kebangsaan B-23 kemudiannya turun menjalani sesi latihan di Padang Latihan Palace Sports Nam Dinh Province selepas sesi jelajah Stadium Thien Truong.
Hari ini, Maloney, akan mengumumkan senarai akhir 20 pemain sehari sebelum perlawanan pertama Kumpulan B menentang Thailand B-23.