AKSI timbal balik suku akhir kedua Piala Malaysia 2022 antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kelantan FC mungkin akan digunakan oleh pengendali, Hector Bidoglio sebagai medan percubaan bagi pasukannya.q12
Ini selepas JDT berjaya menang selesa 3-0 di Kota Bharu dan dengan keadaan pasukan Kelantan yang kehilangan beberapa tonggak, hanya kejutan mampu menghalang JDT untuk melangkah ke separuh akhir.
Seperti mana ketika menentang PJ City sebelum ini, Hector membariskan beberapa pemain muda namun ianya tetap tidak menghalang JDT untuk menunjukkan aksi mantap di hadapan penyokong sendiri.
Pemain-pemain seperti Danial Amier Norhisham, K. Daryl Sham, Ramadhan Saifullah, Feroz Baharudin berkemungkinan diturunkan sekaligus dapat membantu mereka mendapatkan minit permainan dan pengalaman berharga di pentas Piala Malaysia.
Dengan Stadium Sultan Ibrahim yang dijangka penuh dengan soldadu berbaju biru, tidak ada yang mustahil untuk Harimau Selatan mencatatkan kemenangan dan semakin mendekati kejayaan ‘Quadruple’ yang belum pernah mereka lakukan.
Berbeza di kem Kelantan yang dibelenggu masalah kecederaan dan penggantungan pemain, pengendalinya Rezal Zambery Yahya pastinya akan sedikit sukar untuk menentukan siapakah yang bakal menjadi kesebelasan utama TRW.
Tetapi siapa pun yang diturunkan pastinya akan memberikan aksi terbaik kerana bukan mudah untuk mendapat peluang beraksi menentang pasukan terbaik di Malaysia ketika ini seklaigus menjadi momen terbaik untuk membuktikan kemampuan masing-masing.
Para penyokong yang hadir dijangka disajikan aksi dari pemain generasi akan datang dan ini adalah medan terbaik buat jurulatih kebangsaan Kim Pan Gon untuk mencari pemain pelapis dan mungkin juga boleh diletakkan di skuad B23 tahun kebangsaan.
JDT sememangnya pasukan pilihan dalam perlawanan ini tetapi apa jua boleh terjadi ketika di dalam padang dengan Kelantan yang tidak mempunyai tekanan pastinya akan menampilkan aksi baik berbanding ketika di Kota Bharu.