MALAM bersejarah buat negara apabila skuad hoki kebangsaan menjuarai Piala Sultan Azlan Shah buat kali pertama sejak dianjurkan pada tahun 1983.

Lebih manis, kejuaraan pada edisi ke-29 itu dilakukan dengan mengatasi juara bertahan Korea Selatan 3-2 sambil di saksikan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Bergema Stadium Sultan Azlan Shah dan tiada seorang penonton meninggalkan tempat duduk menanti pengisytiharan Malaysia selaku juara malam ini.

Malaysia membuka jaringan menerusi jaringan padang cantik yang disempurnakan Shello Silverius pada minit ke-14, namun Korea Selatan segera menyamakan kedudukan sebelum suku pertama perlawanan berakhir, apabila pakar pukulan sudut penalti mereka Jang Jonghyun menjaringkan gol.

Bersambung suku kedua, perlawanan mendebarkan menerusi serangan balas pantas Speedy Tigers namun gagal menghasilkan jaringan.

Malah Korea Selatan pula kerap mendapat pukulan sudut penalti namun skuad negara ampuh bertahan.

Razie Rahim kembali meletakkan Malaysia di depan apabila menyempurnakan penalti stroke pada minti ke-14 dan kedudukan berubah 3-1 , apabila Muhammad Aminuddin Mohd Zain meledak gawang Korea Selatan pada minit ke-48.

Ketika debaran memuncak, Jeon Byungjin merapatkan kedudukan 3-2 menerusi jaringan pada minit ke-58.

Walaupun Korea Selatan terus memburu gol penyamaan, skuad bimbingan A.Arulselvaraj ampuh bertahan sehingga wisel penamat dan muncul jaura buat kali pertama selepas 38 tahun kemarau kejuaraan.