PENGALAMAN kali pertama muncul menjuarai Piala Sultan Azlan Shah sungguh mengharukan apa lagi melihat pemain tidak mempedulikan hujan yang membasahi stadium demi meraikan kegembiraan itu.
Ketua Jurulatih A.Arulselvaraj berkata, kejuaraan yang diraih itu menjadi petanda buatnya untuk lebih mudah bekerja selepas ini.
“Pada perlawanan akhir ini, saya dapat isyarat bahawa saya boleh memberi lebih tekanan ke atas pemain, kerana dengan tekanan itu mereka mula berkerja lebih kuat dan akhirnya mendapat keputusan yang baik,” kata Arul, selepas meraikan kejuaraan pertama Malaysia menjulang trofi Piala Sultan Azlan Shah, buat kali pertama sejak kejohanan itu dianjurkan pada 1983.
Menurutnya, prestasi Speedy Tigers di awal kejohanan sangat tidak memberangsangkan dan selepas pertemuan hati ke hati, akhirnya pemain mempamerkan permainan hoki sebenar.
“Sama seperti dalam dua suku pertama final tadi, mereka bermain perlahan dan selepas memberi kata dua, mereka akhirnya bermain hoki, mereka melupakan kesakitan, melupakan kecederaan itu sahaja.
“Sebenarnya ramai yang tidak memberi kami peluang setelah kami tewas dan seri pada dua perlawanan pertama, mereka memberi ulasan negatif, tapi tak mengapa.
“Bagi saya, ulasan negatif itu menjadi pendorong buat pemain saya lebih bersemangat. ‘The negative message inspired us more’,” kata Arul lagi.
Sementara itu, pengurus pasukan Datuk Mirnawan Nawawi berbangga skuad kebangsaan akhirnya mengakhiri kemarau 38 tahun tanpa menjulang trofi itu.
“Sewaktu saya bergelar pemain jika tidak silap paling hampir, kami menamatkan saingan di kedudukan ketiga, namun saya tetap gembira kerana walaupun tidak dapat rasai nikmat juara sebagai pemain, saya masih dapat rasakannya sebagai pengurus… ini pengalaman yang cukup indah,” kata Mirnawan.
Beliau berkata, barisan pemain, kejurulatihan, pasukan sokongan malah Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) memainkan peranan penting dalam memimpin pasukan ini sebagai juara.
“Kejuaraan ini akan menjadi pemangkin untuk kita ke Piala Negara-Negara (Nations Cup) serta Piala Dunia.
“Sememangnya dalam perancangan kita untuk menjuarai kejohanan ini. Piala Sultan Azlan Shah ini adalah sebahagian daripada persiapan kita ke Piala Negara-Negara dan Piala Dunia dan kejuaraan menyuntik semangat dan moral pemain di masa akan datang,” kata Mirnawan.
Pada perlawanan akhir sebentar tadi, Malaysia menang ke atas Korea Selatan 3-2.
Sepanjang saingan Piala Sultan Azlan Shah edisi ke-29 ini, Malaysia membuka saingan dengan kekalahan 0-3 kepada Korea Selatan sebelum menamatkan saingan round robin di kedudukan kedua.
Kemenangan pada perlawanan akhir hari ini bukan sekadar membalas dendam terhadap kekalahan pada perlawanan pertama kejohanan, malah melunaskan hutang Korea Selatan pada aksi final Piala Asia Jun lalu.