USAHA dan kerja keras pemain selama menjalani latihan baik di bawah pemantauan jurulatih mahupun latihan persendirian, kini membuahkan hasil.

Flicker berpengalaman, Razie Rahim berkata, mungkin pasukan yang menjuarai Piala Sultan Azlan Shah ini bukan skuad terbaik pernah Malaysia miliki, namun mempunyai kesatuan yang jitu.

“Pemain kali ini mempunyai peningkatan yang sangat tinggi, berdisiplin, berdedikasi dan berkerja keras. Setiap pemain tahu tanggungjawab masing-masing kerana jika kami ‘off training’, masing-masing tahu tanggungjawab apa lagi ketika jurulatih memberi tugasan latihan sendirian.

“Semua pemain akan melaksanakan tanggungjawab mereka sendiri, berlari sendirian dan sebagainya dan sikap itu amat ketara dalam pasukan,” kata Razie yang amat gembira dengan sejarah yang dilakar pasukan pada Khamis malam.

Razie Rahim menjaringkan gol keenam kejohanan apabila menyempurnakan penalti stroke pada minit ke-45 perlawanan yang menyaksikan Malaysia menang 3-2 ke atas Korea Selatan, sekali gus muncul juara Piala Sultan Azlan Shah

Razie muncul Pemain Terbaik Kejohanan dan juga Penjaring Terbanyak dengan enam gol berkata, sebelum kejohanan bermnula lagi, dia sudah memahat sasaran untuk melakar sejarah menjuarai Piala Sultan Azlan Shah kali ini.

Dia beraksi di kejohanan berprestij itu sejak 2006 dan hanya pada edisi 2014 tidak dapat beraksi, sekali gus menyaksikan dia pernah bermain di Piala sultan azlan Shah di 14 edisi.

Kejohanan ini juga cukuo manis buatnya apabila merakam kaps ke-300 ketika menentang Jepun.

ARTIKEL BERKAITAN: Ganjaran menanti juara Piala Sultan Azlan Shah

“Kemenangan ini perlu kami teruskan kerana ia menjadi inspirasi. Ia juga akan menjadi ‘turning point’ untuk tampil dengan keinginan sama di saingan Piala Negara-Negara dan Piala Dunia,” kata Razie.

Razie, 35, adalah pemain paling berusia dalam skuad yang menjuarai Piala Sultan Azlan Shah kali ini.

Jaringannya menerusi penalti stroke pada minit ke-45 menjadi pemangkin kemenangan Malaysia yang menewaskan Korea Selatan 3-2.