KEJUARAAN dirai namun tanggungjawab belum selesai.

Demikian menurut Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal yang gembira dengan pencapaian skuad hoki kebangsaan menjulang Piala Sultan Azlan Shah, semalam.

Menurutnya, beliau teruja dan kagum apabila sejarah akhirnya tercipta pada edisi ke-29 kejohanan dan menyifatkan kemenangan ke atas Korea Selatan, bukan sesuatu yang mudah.

ARTIKEL BERKAITAN:

Piala Sultan Azlan Shah: Malaysia juara selepas 38 tahun

“The negative message inspired us more” – Arul

“Bagaimanapun, kerja belum selesai. Selepas ini, pemain akan balik berseronok dan rehat beberapa hari sebelum melapor diri semula atas arahan jurulatih kerana kita masih ada misi di Nations Cup (Piaa Negara-Negara) hujung bulan ini dan Piala Dunia pada pertengahan Januari tahun hadapan.

“Selepas ini pastinya persiapan pasukan akan bertambah baik dengan kehadiran semula pemain yang sebelum ini mengalami kecederaan seperti Marhan (Jalil), Shahril Saabah dan juga Faizal Saari yang beraksi di Belanda,” katanya.

Mengakui, banyak perbelanjaan digunakan bagi mempersiap pasukan ini, Subahan mengakui pasukan yang dibarisi ramai pemain muda ini mempunyai masa depan dan beliau berharap skuad ke Piala Dunia nanti dapat memecah tembok lapan terbaik dunia.

Ditanya soal penghargaan, Subahan berkata, KHM pasti tidak melupakan hal itu.

“Itu pasti, saya akan berjumpa dengan para pemain selepas ini tapi soal berapa ganjarannya, kita akan umumkan beberapa hari lagi,” kata Subahan.