TEKA teki berhubung status Kelab Bolasepak Petaling Jaya City FC akhirnya terlerai apabila Presiden Kelab Petaling Jaya City FC, Datuk Seri Subahan Kamal mengumumkan bahawa pasukan tersebut secara sah tidak akan beraksi bagi saingan Liga Super musim hadapan.
Keputusan tersebut dibuat setelah pengurusan meneliti keputusan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) membenarkan kehadiran sembilan pemain import ke kancah Liga Super musim hadapan.
“Tahun depan PJ City FC tidak akan mengambil bahagian dalam aksi Liga Super musim hadapan.
“Melihat kepada kancah liga, ia kelihatan agak sukar bagi kita yang sebelum ini mempunyai ramai pemain tempatan.
“Dengan adanya lima pemain import juga ia agak sukar buat kami mempersembahkan persembahan terbaik,” katanya dalam sidang media khas pada Jumaat.
Bagaimanapun, beliau tidak meletakkan kesalahan tersebut kepada MFL serta menghormati sepenuhnya keputusan yang telah ditetapkan badan liga bola sepak tempatan itu.
Beliau turut menolak spekulasi sepenuhnya bahawa kelab tersebut mengalami masalah kewangan sebaliknya menjelaskan ia adalah keputusan yang telah diputuskan sebulat suara pengurusan kelab The Phoenix.
“Jangan salah sangka, kita tidak sama sekali menyalahkan MFL dan tetap menghormati keputusan mereka.
“Ada yang menyatakan kita mempunyai masalah kewangan dan saya ingin menyangkal dakwaan tersebut kerana kami tidak mempunyai masalah kewangan,” ujarnya.
Biarpun begitu, beliau secara terbuka ingin berbincang dengan mana-mana kelab yang menzahirkan minat untuk membeli kelab The Phoenix.
Namun, beberapa syarat perlu dipatuhi pemilik baru yang ingin memiliki kelab tersebut termasuk mengekalkan nama PJ City FC.
“Kita terbuka kepada mana-mana pihak yang mahu mengambil ahli kelab ini. Kalau ada pihak yang berminat mereka boleh berhubung dengan CEO kami bagi membincangkan perkara tersebut.
“Setakat ini kami masih belum dihubungi mana-mana pihak yang berminat mengambil kelab ini. Jika ada, kami akan memaklumkannya kemudian,” jelasnya.