JURULATIH Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee sudah menjangkakan pasukannya akan diberikan tentangan sengit oleh Kuching City FC semasa aksi suku akhir kedua TM Piala Malaysia pada Jumaat malam.
Jelasnya, lawan menunjukkan satu permainan yang cukup baik serta mempamerkan semangat juang yang cukup tinggi sepanjang permainan.
“Pujian harus diberikan kepada kedua-dua pasukan. Bagi saya pasukan Kuching City seperti yang dijangkakan mereka hadir tanpa tekanan.
“Pada masa yang sama kita berjaya bertahan dengan bermain 10 pemain pada akhir masa tambahan. Ini menunjukkan kita memerlukan kesungguhan yang sama dan berjaya bukan sahaja dapat gol diperlukan pada masa tambahan tapi berusaha sehingga ke wisel penamat. Asakan Kuching City kita berjaya hadapi,” katanya selepas sidang media di Stadium Likas.
Beliau akui beberapa kecederaan kepada pemain utama Dominic Tan dan Rizal Ghazali menukar banyak rentak permainan Sabah.
Ujarnya lagi, pemain yang dimasukkan tak dapat sempurnakan momentum yang sama dan menjejaskan pergerakan pasukan tidak seperti yang berlaku di babak pertama.
“Hari ini kita turun tanpa tujuh, lapan pemain utama tidak disenaraikan. Untuk dapat keputusan dan layak seperti ini saya percaya ia bagi satu keyakinan kepada para pemain. Yang penting kita mendapat keputusan,” katanya.
Ditanya bagaimana persaingan selanjutnya menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di separuh akhir, Kim Swee mendedahkan akan melihat keadaan pemain terlebih dahulu.
“Kita tahu pasukan JDT pasukan terbaik di negara kita ketika ini. Namun yang penting saya harus pastikan semua pemain cedera mampu beraksi pada perlawanan akan datang atau pemain sedia ada harus bersiap dari sekarang sebelum kita bermain menentang JDT,” katanya.
Sabah kembali ke pentas separuh akhir TM Piala Malaysia selepas empat tahun apabila meraih kemenangan agregat 2-1 dalam aksi dihadapan kira-kira 6,000 penonton.