JOHOR DARUL TA’ZIM (JDT) menunjukkan perbezaan kelas berbanding Kelantan FC apabila mudah membenam lawan untuk layak ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia 2022.
Bagaikan tanpa belas, Harimau Selatan menerpa lawan dengan lima jaringan tanpa balas sekaligus menang dengan aggregat 8-0 dengan Bergson Da Silva mencipta hatrik seawal 37 minit permainan.
Dua lagi gol disumbangkan oleh Syahmi Safari dan Nazmi Faiz Mansor untuk JDT selesa mendahului 5-0 pada babak pertama dengan barisan muda Kelantan hilang punca di dalam padang untuk menyekat barisan serangan JDT.
Keputusan Masa Penuh
Johor Darul Ta'zim 5-0 Kelantan FC
⚽ Bergson Da Silva 12',34',37', Syahmi Safari 40', Nazmi Faiz 45'
JDT menang dengan aggregat 8-0 dan layak ke separuh akhir #LuaskanKuasamuJohor#GomoKelateGomo pic.twitter.com/0O346zZzNc
— Flash Sukan (@FlashSukan) November 11, 2022
Setelah selesa di hadapan dengan lima gol, Hector Bidoglio memberikan peluang kepada Aidil Zafuan, S.Kunanlan, Danial Amier Norhisham beraksi serta debut buat pemain muda, Adam Farhan Faizal.
Bergson bagaikan dirasuk apabila baru-baru ini disenaraikan antara penjaring terbaik di dunia dengan tiga jaringan yang cukup menarik dan menghiburkan lebih 27,000 penonton yang hadir ke Stadium Sultan Ibrahim.
Kemasukan pemain-pemain muda ini dilihat langsung tidak menggangu rentak permainan JDT sebaliknya mereka sangat berani memegang bola dan melakukan serangan ke gawang Kelantan.
Dengan kemenangan ini JDT kini menanti pemenang antara Sabah dan Kuching City FC di peringkat separuh akhir dan misi menyapu bersih kesemua trofi domestik musim ini semakin hampir menjadi kenyataan.