PENYANDANG juara Piala Malaysia, Kuala Lumpur City FC turun ke Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin malam ini dengan satu misi iaitu untuk mendapatkan kemenangan sekaligus layak ke peringkat separuh akhir.
Meskipun ketinggalan dengan aggregat 1-0 namun Ketua Pegawai Eksekutifnya, Stanley Bernard percaya bahawa pasukannya mampu untuk meneruskan kejutan seperti mana yang dilakukan mereka sepanjang dua tahun kebelakangan ini.
Stanley turut yakin anak-anak buah Bojan Hodak ini akan memberikan aksi mereka yang terbaik ketika tiada sesiapa yang meletakkan harapan kepada mereka.
“Kami berada pada posisi yang kami biasa iaitu menjadi pasukan ‘underdog’ atau pasukan bukan pilihan untuk menang sebelum perlawanan bermula. Kini kami ketinggalan 1-0 dan Terengganu FC bukanlah lawan yang mudah dan ianya pasti satu perlawanan yang sukar.
“Namun bagi saya apa yang positif menjelang perlawanan ini adalah pasukan kami biasa bermain dalam keadaan sebegini sepanjang dua tahun ini. Kami akan cuba beri saingan dan sentiasa memberikan aksi terbaik untuk melakar kemenangan seterusnya ke separuh akhir.
“KL City pernah berada pada situasi sukar di Vietnam, India dan Uzbekistan di mana tiada siapa yang memberikan kami peluang untuk sampai ke final Piala AFC tetapi para pemain memberikan aksi dan karektor yang sangat gila pada perlawanan berskala besar seperti ini.
“Para pemain sedar dan tahu apa yang mereka ada dan mampu lakukan tetapi dalam bola sepak apa jua boleh berlaku dan saya berharap kami dapat berikan perlawanan yang hebat malam ini dan biarkan Tuhan bola sepak menentukan siapakah yang akan menjadi pemenang,” kongsinya kepada FLASH SUKAN.
Kuala Lumpur City FC mempunyai rekod yang baik di tempat lawan terutama ketika kempen Piala AFC dan Bojan Hodak semestinya sudah mempunyai perancangan untuk memerangkap Terengganu di hadapan penyokong sendiri.