PENYERANG prolifik Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson Da Silva berjaya meledak hatrik dalam perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia 2022 yang menyaksikan Harimau Selatan menerkam Kelantan FC dengan keputusan 5-0.

Tiga gol itu meletakkan dirinya kini dengan 44 gol semusim dan semakin menghampiri angka 50 jaringan dan dia juga kini adalah penjaring terbanyak sepanjang zaman buat JDT sejak menyertai pasukan pada 2021.

Namun pemain kelahiran Brazil itu tidak pernah memikirkan tentang jumlah jaringan sebaliknya hanya mahu terus memberikan aksi terbaik untuk membantu JDT di separuh akhir dan memenangi Piala Malaysia.

“Saya sendiri tidak tahu adakah saya mampu mencatat 50 jaringan semusim kerana ianya sangat sukar. Saya juga tidak tahu adakah saya mempunyai cukup masa untuk lakukannya namun apa yang pasti saya tetap akan memberikan aksi terbaik dalam setiap perlawanan.

ARTIKEL BERKAITAN: Piala Malaysia 2022: Tiada belas kasihan, JDT gah ke separuh akhir

“Berita baiknya adalah kami berjaya layak ke separuh akhir Piala Malaysia dan ini adalah perkara yang lebih penting buat saya dan pasukan untuk berkerja lebih keras untuk memenangi piala ini,” katanya secara eksklusif kepada FLASH SUKAN selepas perlawanan.

Ditanya siapakah pemain idolanya sejak kecil, pemain berusia 31 tahun itu pantas menjawab Ronaldo O Fenomeno sebagai pemain kegemarannya dan dia kini sangat gembira berada di JDT dengan sokongan yang diterima terutama daripada para penyokong.

Ronaldo O Fenomeno

“Ronaldo O Fenomeno adalah idola saya sejak kecil kerana saya bermain di posisi serangan dan saya gembira di sini terutama dengan sokongan daripada para penyokong. Saya dan penyokong mempunyai hubungan yang baik bukan sahaja di dalam padang ketika kami bertemu di pasar raya atau di pusat beli belah.”

Bergson juga secara berseloroh mengatakan negara kelahirannya, Brazil sudah pun menjuarai Piala Dunia Qatar 2022 ini kerana skuad Selecao yang juga juara dunia lima kali itu tidak seharusnya tewas di Piala Dunia.

Harimau Selatan kini sudah pun mengalihkan fokus mereka kepada perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia menentang Sabah FC pada 15 November 2022 dengan keputusan yang baik pastinya dituntut terutama oleh para penyokong setia JDT.