PENANTIAN 25 tahun Selangor untuk muncul juara Piala Emas Raja-Raja akhirnya terlerai apabila berjaya menumpaskan PDRM 3-2 dalam aksi final yang menarik di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada Sabtu.
Perlawanan yang diheret ke masa tambahan itu menyaksikan aksi berkualiti dari kedua-dua pasukan namun akhirnya tuah memihak kepada Selangor untuk bergelar juara.
Kemenangan ini disambut gembira pengendali Selangor, Shaiful Nizam Khamis yang menganggap kejayaan ini adalah hasil usaha bersama semua pemain yang bermain mengikut arahan yang telah ditetapkan.
Selain itu, dia turut mendedikasikan kemenangan ini kepada Allahyarham Husni Idrus, pemain Piala Presiden Selangor dan skuad Piala Emas Raja-Raja yang meninggal dunia akibat semput Mei lalu.
“Syukur Alhamdulillah atas kurniaan rezek ini. Saya memberitahu pemain agar mereka menikmati permainan ini kerana ianya adalah perlawanan terakhir buat mereka bersama pasukan ini sebelum kembali kepada kelab masing-masing.
“Kemenangan ini juga kami tujukan buat arwah Husni Idrus yang meninggal akibat semput Mei lalu dan gabungan pemain dari Piala Presiden dan AMD telah mempamerkan aksi yang baik untuk memberikan kami kejuaraan ini,” ujarnya selepas perlawanan akhir itu.
ARTIKEL BERKAITAN: Selangor juara Piala Emas Raja-Raja edisi ke-100
Shaiful Nizam turut menghadiahkan kemenangan ini kepada barisan pengurusan pasukan yang memberikan kepercayaan kepadanya untuk mengendali pasukan ini hingga berjaya muncul juara
Sementara itu, pengendali PDRM, Rohaizan Md Ribi pula berkata tuah tidak memihak kepada pasukannya yang dibarisi majoriti anggota polis yang ketika ini sedang sibuk bertugas untuk menghadapi Pilihanraya Umum ke-15.
“Tahniah kepada Selangor namun saya berbangga dengan aksi yang ditunjukkan barisan pemain walaupun gagal menyempurnakan peluang untuk memenangi perlawanan selain terpaksa bermain tanpa pertahanan utama yang mengalami kecederaan.
“Kami juga tidak mempunyai satu pun perlawanan persahabatan kerana kesemua pemain skuad ini adalah anggota polis yang kini sibuk bertugas bagi menghadapi Pilihanraya Umum ke-15,” katanya kepada media.
Kejohanan Piala Emas Raja-Raja masuk ke edisi ke-100 tahun ini dengan 16 pasukan yang bersaing dan dipecahkan kepada empat zon iaitu Zon Utara, Tengah, Selatan dan Timur dengan had umur pemain ditetapkan pada 25 tahun ke bawah dengan maksimum lima pemain lebih umur dibenarkan.